Thursday, August 22, 2013

Kemalangan terburuk dalam sejarah di Genting Highland. Kaki Dan Cebisan Organ Dalaman Manusia Ditemui Di Lokasi Nahas




GENTING HIGHLANDS 21 Ogos - Sebanyak 37 orang maut apabila sebuah bas ulang-alik Genting Highlands yang membawa 53 penumpang terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam 150 meter sewaktu menuruni pusat peranginan itu di Kilometer 3.5, Jalan Genting Highlands- Kuala Lumpur hari ini.

Nahas terburuk dalam sejarah kemalangan negara itu berlaku kira-kira pukul 2.24 petang ketika bas dipandu Lim Kok Ho, 44, yang turut maut, menuruni puncak Genting Highlands ketika hujan renyai-renyai menuju ke ibu negara.

Selain 37 mangsa yang terkorban, 16 lagi penumpang cedera parah dan mereka dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong.

Malah ada di antara mangsa kemalangan ngeri itu yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter selepas kenderaan itu terhumban ke dalam gaung. Kebanyakan mangsa maut akibat terhimpit dan tercampak ke bahagian tempat duduk pemandu selepas bas itu terjunam.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi), Datuk Soiman Jahid memberitahu, bas itu dipercayai hilang kawalan sewaktu menuruni selekoh berhampiran tokong Cina lalu merempuh penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.

Terdapat beberapa mangsa yang tercampak keluar dari bas sejauh 200 meter ke dalam gaung ketika bas itu terhumban.

Sebanyak 53 penumpang dipercayai menaiki bas berkenaan. Bagaimanapun setakat ini kita belum mengenal pasti punca sebenar kemalangan berlaku.



Mangsa pertama yang cedera dibawa keluar pada pukul 3.54 petang manakala mayat terakhir dikeluarkan pada pukul 8.01 malam. Kesemua mayat mangsa dihantar ke HKL manakala 16 mangsa yang cedera dihantar ke HKL, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Bentong," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Identiti kesemua mangsa yang maut belum disahkan namun pecahan mereka ialah seorang lelaki Melayu; 19 lelaki Cina dan sembilan wanita Cina; tiga lelaki India dan seorang wanita India serta keturunan lain tiga lelaki dan seorang wanita.

Menurut Soiman, sebanyak 452 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pasukan perubatan bertungkus-lumus mengeluarkan mayat dan mangsa kemalangan itu.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohd. Mansor Mohd. Noor memberitahu, setakat ini belum dikenal pasti sama ada terdapat kanak-kanak yang turut terkorban.

Pasukan menyelamat menggunakan kren untuk mengeluarkan semua mereka yang tercedera dari lokasi kejadian," katanya.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat tempat kejadian.


Kaki dan cebisan organ dalaman manusia ditemui tidak jauh dari badan bas yang remuk teruk selepas terjunam ke gaung dalam kemalangan di KM3.5 Jalan Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Nor berkata kaki dan cebisan organ dalaman itu mungkin milik dua invidu.

Kaki itu ditemui dalam operasi mencari saki baki mangsa oleh pasukan penyelamat di lokasi kejadian nahas itu pagi ini, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Antara yang ditemui dalam operasi bermula 9.45 pagi itu ialah barang-barang peribadi milik mangsa nahas yang diharap dapat membantu anggota keluarga mengecam identiti mangsa.

"Sebanyak 34 daripada 37 mayat mangsa juga sudah dibedah siasat. Rata-ratanya mati akibat kecederaan teruk di dalam badan," katanya.




Mohd Mansor berkata pasukan penyelamat juga tidak menjangka menemui mayat lain di lokasi kejadian hari ini selain menunggu siasatan Puspakom Sdn Bhd dan pasukan forensik polis di kawasan nahas sebelum menarik naik bangkai bas.

"Bas terbabas ke dalam gaung 60 meter dari permukaan jalan. Nasib baik bas tersangkut pada pokok, jika tidak bas boleh jatuh lebih jauh ke dalam," katanya.

Buat masa ini, polis belum mengambil kenyataan daripada mangsa yang selamat kerana mereka masih dalam keadaan trauma.

Beliau juga meminta orang ramai tampil ke Hospital Kuala Lumpur atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong jika mengesyaki ada anggota keluarga yang terlibat dalam nahas itu. - BERNAMA


Gambar gambar kemalangan Bas di Genting..
































1 comment:

  1. takziah buat keluarga mangsa. Bagi yang Islam semoga rohnya dicucuri rahmat.

    ReplyDelete

tinggalkan komen anda di sini agar kita dapat berkongsi maklumat dan pandangan