Wednesday, August 21, 2013

Aku perlu sabar mendidik...

mereka ini dari kelas terakhir. Masih dalam tingkatan satu. Dalam seminggu aku diperuntukkan dua waktu untuk mereka. Aku mengajar seni. Dari segi akademik mereka ini perlu lebih diberi tumpuan dan tunjuk ajar. Mereka perlu diberi lebih pendekatan. ada di kalangan mereka yang maaih tidak lancar membaca. Mereka dikumpulkan dalam satu kelas dengan pelbagai bentuk latar belakang.

Dalam subjek pendidikan seni mereka dilatih untuk membina kreativiti, mengolah berfikir dan ada di kalangan mereka memang cukup berbakat dan tidak ramai pula yang hanya tahu menconteng di kertas dengan hasil yang kurang memuaskan. itu lah realitinya. Aku perlu sabar mendidik. Sesekali aku diuji dengan sikap mereka yang keterlaluan. Mereka lebih suka menganggu kawan kawan sekelas daripada membuat kerja sekolah. Pemantauan perlu diberi sepanjang masa.

Mendidik mereka tidak boleh dengan emosi. Mengajar mereka perlu lebih sabar. Aras kemampuan mereka belajar di tahap yang rendah. Yang hebat hebat semuanya telah berada di kelas yang terbaik atau sederhana.






Ada juga di kalangan mereka cukup berbakat. Yang berbakat perlu lebih diberi pujian agar mereka ini sentiasa berani untuk berkarya. Dari bulan Januari hingga lah sekarang, sudah berapa banyak kerja sekolah sudah aku berikan. Ada yang aku suruh mereka lukis pemandangan alam sekitar, ketul-ketul batu dan kayu, ranting ranting kayu yang jatuh. Ada yang aku suruh lukis menggunakan pensel sahaja dan ada yang menggunakan warna. Sesekali aku membawa mereka keluar dari bilik darjah untuk melukis di luar atau di bawa ke bawah pokok yang besar.


Aku ajar mereka melihat alam, menghayati kejadian tuhan, menghargai apa yang ada di persekitaran. Aku ajar mereka berfikir, membuat pena'kulan, menganalisis dan mengkaji. Aku pernah menyuruh mereka mengutip daun hijau di persekitaran mereka. Aku menyuruh mereka menyenaraikan tentang warna yang ada pada daun, bentuk daun, kesan cahaya yang ada pada daun dan lenggok daun. Aku biarkan mereka ini memegang daun sambil berfikir. Semuanya adalah kerana aku mahu mereka menghayati alam.



Karya yang dihantar ada dalam keadaan yang menyenangkan dan ada juga yang selalu memberi alasan tertinggal. Mereka ini suka bertanya. Kadang akadang aku juga jadi rimas dengan setiap pertanyaan mereka. Ada yang aku jawab dengan penuh kesabaran kerana aku tahu mereka perlu sangat tahu. Mereka ini yang akan membentuk masa depan walaupun mereka berada di kelas yang terakhir. mereka ini akan mengubah nasib keluarga mereka. Siapa tahu hari ini mereka belajar melukis daun dan gambar laut dan bila dewasa nanti mereka sudah menjadi pelukis pelan bangunan. Siapa tahu waktu ini mereka hanya tahu melukis gambar orang lidi berserta corak corak bunga yang paling senang tapi suatu hari nanti mereka akan jadi pereka fesyen. Harapan aku sentiasa menggunung walaupun aku tahu mereka ini tidak suka bercita cita. bagi sesetengah daripada mereka hanya suka main main di dalam kelas sambil mengusik kawan kawan mereka. Aku tahu ibu bapa mereka punya harapan yang tinggi daripada mereka walaupun mereka ini dari kelas yang terkebelakang.



Aku mahu titip lagi mereka sedaya aku. Aku mahu didik mereka dengan penuh kesabaran. Aku yakin ada di antara mereka akan cemerlang suatu masa nanti.

Anak didik aku punya keupayaan dan aku pula punyai kesabaran.



1 comment:

tinggalkan komen anda di sini agar kita dapat berkongsi maklumat dan pandangan