Wednesday, May 13, 2009

Apa khabar kenangan?




Apa khabar kenangan? ramai orang yang suka mengimbau kembali kenangan lama dan ramai juga yang tidak mahu mengingatkannya lagi apatah lagi kenangan silam itulah yang membuatkan dia sentiasa dirundung duka.
Bagi mereka yang merasai pengalaman manis akan sentiasa mengenang sehingga akhir hayat. Setiap orang mempunyai pengalamannya yang tersendiri. Kenangan sewaktu kanak-kanak, kenangan ketika di alam persekolahan, kenangan sewaktu remaja, kenangan sewaktu mula bercinta, kenangan itu dan kenangan ini.
Kenangan adalah proses kejadian dan peristiwa yang sudah berlaku. Peristiwa dan kejadian yang dialami pada setiap hari akan disimpan dalam kotak fikiran dalam satu tempoh hayat selagi otak kita masih berfungsi dan daya ingatan kita baik. Kenangan biasanya akan datang kembali apabila wujudnya satu peristiwa baru yang menyamai peristiwa lama atau kita sendiri mengimbau semula kenangan atas satu-satu alasan samada kita berada ditempat yang sebelumnya kita pernah datang atau samada kita bertemu dengan seseorang yang sebelum ini ada pertalian dan hubungan atau sebagainya.

Ada orang yang takutkan kenangan yang menyayat hati. Ada juga yang tidak mahu mengimbau kembali kenangan seaktu gagal dalam satu-satu perkara. Ketakutan ini adalah disebabkan impak dari kejadian lampau itu yang menganggu emosi dan menjejaskan proses hidup.


Ramai pula yang menjadikan kenangan lampau itu sebagai pengajaran dan teladan dalam menghadapi perjalanan hidup yang panjang dan mencabar. Pengalaman lampau menjadikan seseorang itu lebih matang dan berani. Kenangan lampau juga akan menjadikan kita lebih berwaspada.

Baik dan buruk ketika mengimbau semula kenangan seseorang adalah bergantung kepada individu itu sendiri dan bagaimana cara seseorang itu mengurus hidup dan meneutralkan emosi ketika menghadapi ujian dan cabaran. Ramai juga yang menjadi histeria dan mengalami tekanan apabila kenangan tragis atau menyayat hati datang menghantui mereka. Orang sebegini akan berhadapan dengan satu kecelaruan minda dan gangguan perasaan yang perlu dibawa kepada pakar perubatan dan sakit jiwa.


Orang-orang sebegini akan diberi rawatan secara berterusan dengan kaedah-kaedah psikologi dan bimbingan kaunseling supaya mampu untuk menerima satu kenyataan dan hakikat sebenar. Bagi orang yang mempunyai kenangan yang indah pula akan sentiasa tersenyum dan akan merindukan kenangan itu. Kenangan yang indah itu juga akan merangsang gaya hidup positif dan tindakbalas perlakuan yang ceria.


Kenangan adalah kita dan kita adalah kenangan. Kita yang melalui perjalanan dan kitalah yang mengumpul kenangan. Justeru itu kenapa kita perlu takut dengan kenangan sedangkan kenangan adalah satu entiti kehidupan.


- "ilham bagi topik ini tercetus ketika saya sedang berehat dan tiba-tiba terkenangkan kawan-kawan ketika dibangku sekolah dulu"






- Zaidi




14 Mei 2009








No comments:

Post a Comment

tinggalkan komen anda di sini agar kita dapat berkongsi maklumat dan pandangan