Saturday, May 2, 2009

aku di ufuk Utara



Semalaman aku menerjah hiruk pikuk bandar George Town. Terkadang rasa seperti berada di dunia metropolitan. Manusia dan batu-batu kota sudah saling kenal mengenal. Penat mula menyapa dalam urat dan jasad ku. Bingit motokar dan hingar-bingar suara manusia menggusarkan apatah lagi aku dibesarkan dalam irama desa yang lembut dan gemalai. Penuh santun.



Cinta bukan sekadar mengungkap janji tapi menghayati

hingga ke seluruh nadi ( Sekadar gambar hiasan)



Jam di tangan tak pernah henti berlari menganjak masa dari saat ke saat, minit ke minit dan jam ke jam. Tanpa sedar sudah lebih 6 jam aku menghadap kota-kota batu yang bertingkat dan gah di laluan umum persiaran Gurney. Semakin malap cahaya mentari semakin ligat manusia berlari. Ada yang bergerombolan dan ada yang berpasangan. yang hanyut dilamun cinta akan berkongsi janji setia. Yang hebat menjadi kasanova akan menabur janji dusta. Yang datang berkereta sudah pasti di sini penuhkan semua isi keluarga. dari yang muda hinggalah ke tua.





Malam sabtu menjanjikan himpunan makhluk beribu memenuhi di setiap pelusuk dan ceruk di persiaran Gurney. Angin senja yang lembut bersuara menggamit tenang dan damai. Biasan cahaya jingga dari matahari senja membuakkan lagi rasa ria dan indah ciptaan tuhan.





Jam 10 malam aku sudah rasa jemu melihat batu-batu dan merpati-merpati yang melepaskan rindu bersama pasangan masing-masing. Aku juga semakin cemburu lantas aku mengorak langkah menuju ke kereta dan mengubah haluan ku sekali lagi ke "stargate". Aku tak pasti kenapa nama tempat ini dinamakan dengan nama tersebut tetapi apa yang aku faham di situ juga terdapat satu kilang yang sama namanya dengan tempat tersebut.





Di sana aku sekali lagi menyusur batu-batu keras yang terhampar sebagai benteng ombak. Masih jelas dengan silau lampu-lampu jalan. Aku labuhkan punggungku di atas batu dan memerhatikan gelagat manusia di situ terutama sekali yang berpasangan. hebat dan dahsyat. Hebat kerana menjadi pemburu cinta dan peneraju cinta yang belum pati setianya. Dahsyat kerana mampu mempertontonkan aksi-aksi hangat di khalayak. Semuanya wajah-wajah dari bangsaku yang bergelar Melayu.





Aku berada di situ sehingga jam 2.00pagi dan kemudiannya aku menghala ke jambatan pulau pinang dan terus ke lebuh raya utara-selatan menghala ke Changkat Jering. Mungkin kerana penat aku terpaksa melelapkan mataku di kawasan rehat Gunung Semanggol.





Hari yang ke dua aku sekali lagi menuju ke Pulau Pinang untuk merasai udara di Feringgi sambil mencari hotel untuk di sewa. malang sekali sudah kehabisan dan aku terpaksa pula mencari hotel di kawasan bandar. nasib aku baik kerana Hotel Evergreen masih lagi ada kosong.





Malam itu aku menginap di hotel Evergreen dengan kadar RM255.00 untuk satu malam. Tak kisah lah. bukannya selalu. Wang boleh dicari. Minda perlu juga rehat yang secukupnya.


Cuaca tidak begitu mengizinkan untuk aku merayau dan melihat gelagat pada malam ini. Aku hanya terpeap di bilik di tingkat 18 sementara menantikan hari esok.





Wallahuaalam





Zaidi





2 MAY 2009

2 comments:

  1. cinta...
    datang dan pergi..
    penting ke cinta...mungkin bg awak penting tpi bg saya....
    entahlah..bg saya ada ke tidak sama sahaja...
    ada apa dengan cinta..

    ReplyDelete
  2. cinta mampu menjadikan kita seorg yg bertanggungjawab...

    ReplyDelete

tinggalkan komen anda di sini agar kita dapat berkongsi maklumat dan pandangan