Thursday, May 28, 2009

Aku Mula Merindu

Aku mula merindu...
Saraf saraf ku sakit
jasad dan nadi ku membingit
salur salur darah bergetar
diredah rindu yang menggegar

Aku mula merindu
Denyut jantung jadi pantas
aku jadi gagap
gema cinta bertebaran
memenuhi setiap ruang yang lapang
dalam limpa, jantung dan di setiap dasar
aku jadi sasar

aku mula merindu
dari waktu-waktu yang penuh pilu
tanpa salam dan pesan
tanpa ada lagi perkhabaran

dan yang tinggal
hanyalah aku dan rinduku sendirian


-zaidi

28 May 2009

Menyintaimu

menyintai mu.... adalah satu kepedihan yang dahsyat
bertarung dalam rongga yang sakit
jiwa yang rintih

menyintaimu..adalah satu keperitan
menggalas hiba seluruh kebatinan
menyintaimu adalah ujian kesabaran
lantaran menebalnya rasa sayang

menyintaimu adalah rungkaian kerinduan
tanpa kesal dan sesal
tanpa jemu dan ragu
walau nanti akhir cinta
aku tetap reda
andai dirimu bukan milik ku jua

edyxray

Tuesday, May 26, 2009

Sunyi...????


Sunyi...??? Mungkin semua orang pernah menghadapinya. Sunyi, Sepi, terasa kosong, terasing, Jiwa jadi buntu. Bagaimana ianya bermula dan apakah kesannya.


Kesunyian dan kesepian mungkin berlaku akibat wujudnya satu kecenderungan untuk memiliki kawan atau teman tapi masih tidak kesampaian. Manusia akan merasakan terasing tanpa kawan dan teman. manusia sebenarnya dilahirkan untuk sentiasa berhubung.

Kesunyian dan kesepian mungkin pernah dilalui oleh semua orang cuma dalam keadaan berbeza-beza. Ada orang terasa sunyi dan terasing kerana tiada teman hidup. Ada orang terasa sunyi dan terasing kerana tidak diberi perhatian oleh pasangannya dan ada orang sengaja mencari kesunyian dan keterasingan atas sebab ingin mencari privasi.


Apakah orang yang mempunyai pasangan juga akan merasa sunyi dan terasing? Mungkin ya atau mungkin tidak. Bergantung pada situasi pasangan tersebut. Ada orang yang mempunyai pasangan tapi mengabaikan perhatian dan kasih sayang. Keadaan ini menyebabkan hubungan menjadi pudar dan salah seorang akan cuba membawa diri dan menyendiri. ada orang yang langsung tidak ada pasangan dan cuba mendapatkan pasangan tapi tidak berjaya dan kesudahannya juga akan cuba mengasingkan diri dan cuba hidup dalam dunia nya sendiri. Orang yang sebegini akan mula berbicara dalam hati tanpa meluahkan kepada sesiapa atau ada juga orang yang sebegini akan mencari satu instrumen atau bahantara untuk meluahkan apa yang di rasa. bagi yang suka melukis akan meluahkan di kanvas. bagi yang suka bersyair dan berpuisi akan menulisnya di kertas. bagi yang suka mengembara akan meluahkan pada alam. bagi orang-orang sebegini , Alam dan tulisan adalah kekasihnya. Alam dan tulisan adalah teman hidupnya. Alam dan tulisan adalah rakan karibnya.

Hubungan itu seperti menanam sepohon pokok. Sekiranya ditanam tanpa disiram dan dibajai setiap masa maka pokok itu akan layu dan mati. Hubungan juga akan melaui proses-proses sebegitu. Sejauhmana orang yang berhubung mengekalkan semaian dan siraman pada pohon-pohon kasih. Rasanya tak ramai yang mampu menyuburkannya secara baik agar pohon kasih itu sentiasa segar.

Apakah kesunyian dan keterasingan menjejaskan aktiviti harian. Persoalan ini bergantung sejauhmana emosi kita mengawal rasa sunyi dan terasing yang melanda diri. Kesunyian yang dirasakan dalam diri tanpa dilepaskan melalui instrumen-instrumen pengawalan akan menyebabkan seseorang individu itu akan merasa rendah diri dan sentiasa berada dalam jiwa yang meronta. hatinya akan berkata sendirian. jiwanya dirundung kesedihan.


Kesunyian juga adalah anugerah. kadang-kadang kita juga akan dapat megecapi kebahagiaan sewaktu jiwa kosong dan sunyi. tapi mungkin hanya seketika kerana pada saatnya kita akan merasakan betul-betul terasing tanpa teman dan kawan untuk dijadikan tempat meluah perasaan.



- Zaidi


27 May 2009

Saturday, May 23, 2009

Bahasa Senja


bukan mudah mentafsir bahasa senja

lenggoknya samar rasa

warnanya cuma seketika

singgah untuk meredakan lelah


bukan mudah merenung mentari jingga

kilaunya hanya dipangkin hari

nanti hilang sendiri

di ufuk tak berkaki


-zaidi


24 May 2009

Saja nak bergaya

























































Add Image


































Tuesday, May 19, 2009

Apa khabar puteri ku....

Apa khabar puteri ku...
masih ingat lagi agaknya
saat kita bertemu di perhentian KL
15 Tahun yang lalu

dalam hingar bingar kota batu
Kita saling tidak kenal mengenal
bersandar di dinding kurang sedepa
dalam riuhnya manusia kota
mundar mandir dengan teriak suara


Saat kita hanya tahu mengukir senyum
antara kau dan aku

Apa khabar puteri ku....
masih ingat lagi kah kita
punya destinasi yang sama
kau ingin pulang ke desa
aku pula ingin hadiri temuduga


Dari Bas yang sama kita mula bercerita
tentang itu dan ini
tentang kisah silam dan pengalaman kelam
tentang daifnya menjadi manusia

tentang sukarnya mencari bahagia
tentang hibanya ditinggal bapa
tentang seronoknya di alam sekolah
walaupun kenal kita di hentian bas cuma


Masih ingat kah lagi kah kita.....
tatkala kau menjadi pendengar yang setia
ketika aku mula membuka bicara
tentang rentetan hidup tanpa bonda yang menjaga
tentang hilang kasih sayang dari ayahnda yang tercinta ( saat permergian)
tentang kasih nenek yang menimangku ketika mula membuka mata



Masih ingatkah lagi kita..
bermula dengan pertemuan kita jalinkan hubungan
dari satu titik ke satu titik kita mekarkan kasih sayang
dari bunga harapan kita mula suburkan


Kita jalani saat indah bersama
dari pertemuan di hujung minggu
kita jalinkan menjadi cinta yang satu
kita sematkan janji berpadu


masih ingat lagi kah kita....

Dari Centre Market ke Daya Bumi
Kita susuri taman-taman di pinggir sungai Klang
Kita hiasi dengan senda dan gurau
jenaka-jenaka cinta
yang lahir dari hati-hati kita



hari ini aku mengenangnya kembali
Setelah 15 tahun hilangnya puteri hati


kita ditakdir untuk tidak bersama
walaupun kita hebat mengota janji cinta
kita akur pada ketentuan esa
menetapkan jodoh mu dengan si dia



- Zaidi


20 May 2009










Wednesday, May 13, 2009

Apa khabar kenangan?




Apa khabar kenangan? ramai orang yang suka mengimbau kembali kenangan lama dan ramai juga yang tidak mahu mengingatkannya lagi apatah lagi kenangan silam itulah yang membuatkan dia sentiasa dirundung duka.
Bagi mereka yang merasai pengalaman manis akan sentiasa mengenang sehingga akhir hayat. Setiap orang mempunyai pengalamannya yang tersendiri. Kenangan sewaktu kanak-kanak, kenangan ketika di alam persekolahan, kenangan sewaktu remaja, kenangan sewaktu mula bercinta, kenangan itu dan kenangan ini.
Kenangan adalah proses kejadian dan peristiwa yang sudah berlaku. Peristiwa dan kejadian yang dialami pada setiap hari akan disimpan dalam kotak fikiran dalam satu tempoh hayat selagi otak kita masih berfungsi dan daya ingatan kita baik. Kenangan biasanya akan datang kembali apabila wujudnya satu peristiwa baru yang menyamai peristiwa lama atau kita sendiri mengimbau semula kenangan atas satu-satu alasan samada kita berada ditempat yang sebelumnya kita pernah datang atau samada kita bertemu dengan seseorang yang sebelum ini ada pertalian dan hubungan atau sebagainya.

Ada orang yang takutkan kenangan yang menyayat hati. Ada juga yang tidak mahu mengimbau kembali kenangan seaktu gagal dalam satu-satu perkara. Ketakutan ini adalah disebabkan impak dari kejadian lampau itu yang menganggu emosi dan menjejaskan proses hidup.


Ramai pula yang menjadikan kenangan lampau itu sebagai pengajaran dan teladan dalam menghadapi perjalanan hidup yang panjang dan mencabar. Pengalaman lampau menjadikan seseorang itu lebih matang dan berani. Kenangan lampau juga akan menjadikan kita lebih berwaspada.

Baik dan buruk ketika mengimbau semula kenangan seseorang adalah bergantung kepada individu itu sendiri dan bagaimana cara seseorang itu mengurus hidup dan meneutralkan emosi ketika menghadapi ujian dan cabaran. Ramai juga yang menjadi histeria dan mengalami tekanan apabila kenangan tragis atau menyayat hati datang menghantui mereka. Orang sebegini akan berhadapan dengan satu kecelaruan minda dan gangguan perasaan yang perlu dibawa kepada pakar perubatan dan sakit jiwa.


Orang-orang sebegini akan diberi rawatan secara berterusan dengan kaedah-kaedah psikologi dan bimbingan kaunseling supaya mampu untuk menerima satu kenyataan dan hakikat sebenar. Bagi orang yang mempunyai kenangan yang indah pula akan sentiasa tersenyum dan akan merindukan kenangan itu. Kenangan yang indah itu juga akan merangsang gaya hidup positif dan tindakbalas perlakuan yang ceria.


Kenangan adalah kita dan kita adalah kenangan. Kita yang melalui perjalanan dan kitalah yang mengumpul kenangan. Justeru itu kenapa kita perlu takut dengan kenangan sedangkan kenangan adalah satu entiti kehidupan.


- "ilham bagi topik ini tercetus ketika saya sedang berehat dan tiba-tiba terkenangkan kawan-kawan ketika dibangku sekolah dulu"






- Zaidi




14 Mei 2009








Tuesday, May 12, 2009

WARNA-WARNA HIDUP

Terpalit dalam diri
warna-warna hidup
dalam makna yang berbeza
antara kelabu dan biru unggu
terlukis dari perjalanan kehidupan
dari dunia yang bersimpang.

Warna-warna hidup yang terlukis
dari atas kanvas awal kelahiran
adalah corak warna-warna indah
diadun dari telunjuk bonda
agar warna yang dipalit nanti
adalah warna berseri dan berperibadi

nanti dewasa warna ini diadun sendiri
dilengkapkan dengan bingkai-bingkai keberanian
dari pesan bonda ketika dibuaian
dari pesan guru ketika di persekolahan
dari pesan nenek ketika singgah di kampungan

Warna-warna hidup adalah lambang kesempurnaan insan
dilengkapi dengan empat makrifat
ajaran ustaz-ustaz
dihembus ke dalam saraf dan akal yang mampat
agar nanti tidak sesat
kenal adat dan hakikat

zaidi

13 may 2009

Monday, May 11, 2009

Bila cinta didustai....


Mungkin terlalu sukar untuk mentafsir bahasa ombak ketika menyapa pantai, tapi itulah realitinya dan itulah jua lambang sebuah kesetiaan. Dari hujung laut mataku masih lagi menyapa samar jingga terpalit indah. Camar-camar pulang melenggokkan sayap. ada berpasangan dan ada bergerombolan. terlalu indah untuk diungkapkan dengan kata-kata dan itulah hebatnya ciptaan tuhan.


Masih aku ingat di sinilah kali pertama aku melihat cinta terpancar dari kata mula kalimah harapan dan janji bersama dikota. Batu-batu besar yang menghiasi pesisir pantai pernah menjadi saksi akur janji pasangan bercinta.


Ku capai ranting-ranting halus dalam samar jingga sambil menuturkan bahasa hati di dada pasir. " Kenangan cinta kita". Lantas ingatan ku berolak dan menyusur masa lampau saat kecapi kebahagiaan. Kenapa terlalu sukar untuk melupakan kisah yang berlalu. Apakah hadirnya telah menyelinap di setiap pelusuk saraf dan nadi. Aku cuba untuk mengusir kenangan silam jauh-jauh namun semakin kuat aku cuba melupakan semakin tenat aku merasa kesakitan. Di mana penawar dan di mana lagi harapan. Apakah aku sedang kecewa atau aku hanya bermain dengan jiwa yang meronta.


Senja kian berlabuh, deruan ombak dan pantai setia masih teguh mengota janji. Kadang aku terfikir, kenapa dia juga tidak seperti ombak yang memegang pada kesetiaan. Kenapa dia harus meninggalkan aku tanpa khabar berita dan membiarkan aku hilang diri lantaran tercampak dalam bius cinta.


Aku menyusur pesisir pantai sambil bermain-main dengan ombak. Dalam indah jingga terkadang aku menjadi cemburu pada camar-camar yang datang berpasangan. Bahagianya mereka.


Sesampai aku di kereta, rasa mengah mula terasa. mungkin sudah lama tidak bermain ombak. mungkin juga sudah lama aku tidak berada di pasir pantai. hari ini aku singgah untuk mengenang kembali saat manis di sini.
Aku membuka pintu kereta sambil menghidupkan enjin tiba-tiba satu suara menyapa telinga ku. " Encik, boleh minta tolong?" aku menoleh ke belakang dan melihat seorang gadis yang penuh tersalut lumpur dan kelihatan rambutnya juga terlekat kesan-kesan lumpur. Wajahnya dalam samar-samar cahaya kadang -kadang menggerunkan aku. wajahnya masih jelas ada keayuan walaupun nampak comot akibat palitan lumpur. Aku mula teringat pesan ibu ku supaya tidak berada di luar rumah pada waktu senja. katanya pada waktu ini banyak iblis berkeliaran. Aku terus menghilangkan ingatan ku kepada perkara yang bukan-bukan dan cuba menjawab pertanyaan gadis itu. " ye boleh, kenapa cik?". Gadis itu dengan perasaan malu-malu sambil mengesat muka dengan tangan. wajah ayunya mula terserlah. " saya tergelincir tadi dan jatuh ke dalam lopak, boleh tak hantarkan saya ke rumah? saya segan nak naik bas. lagipun badan saya dah dipenuhi dengan lumpur". Gadis itu memulakan bicara. Dalam hati aku mula tergelak sendirian. apa tidaknya bila melihat wajah gadis yang ayu tadi telah dipenuhi lumpur. baju kebaya merah yang dipakainya juga tidak lagi nampak seperti baju. rasa kasihan pun ada. aku mengambil sebotol air mineral besar dan menghulurkan padanya. " nah, ambil air ni dan basuhkan dulu kesan lumpur tu. nanti saya hantarkan." gadis itu terus mencapai air dari tangan aku dan menyiram sedikit demi sedikit pada baju kebaya merahnya. selebihnya pula digunakan untuk basuhkan rambut dan lapkan mukanya. Sepatah sahaja terkeluar dari bibirnya. " datang dengan apa tadi? aku cuba menghidupkan suasana dan ingin mengetahui apa sebenarnya yang terjadi. " tadi datang dengan bas". Kata gadis itu. Aku hanya mengangguk tanda faham.
Aku menyusuri jalan-jalan kampung. Warna jingga semakin malap dan suram. malam sudah mengambil tempat. Dari satu rumah ke satu rumah telah aku lewati. Jalan yang sempit dan dipagari pohon-pohon kelapa serta pokok renek. sesekali kereta aku menerjah lubang-lubang jalan dan sesekali juga penglihatan ku diganggu oleh lampu kereta lain yang berselisih. Warna-warna malam di kampung-kampung sememangnya indah. anak-anak kecil dengan bergalaskan beg alquran dan bersongkok berjalan anak ke tempat mengaji. Ada juga yang berbasikal dan ada yang bermain kejar mengejar. Teringat aku sewaktu kecil di kampung ku. Pada waktu itu lah aku juga akan pergi mengaji quran di rumah Hj. Mat. Rumahnya hanya selang 2 rumah sahaja dari rumah ku. Aku masih ingat ketika mana aku dihambat oleh ayam serati Mak cik Lijah ketika bermain-main di kawasan rumahnya. kenangan itu sungguh indah. " Perlahan sikit ye encik, dekat depan tu ada satu lorong dan nanti encik masuk ke kiri". Tiba-tiba lamunan aku terhenti apabila terdengar suara gadis itu menyuruh aku memperlahankan kenderaan.
Sesampainya di selekoh itu aku membelok ke kiri dan kelihatan di hadapan ku sebuah rumah rumah usang. Sangat usang. Atapnya yang separuhnya masih lagi berdaun nipah dan separuh lagi dengan zink buruk. Dindingnya juga sudah ada yang dimakan anai-anai. " inilah rumah saya encik, singgah la dulu, nanti saya panggilkan nenek saya." gadis itu membuka pintu kereta lalu turun dan terus memanggil neneknya. " nek, ooo nek," tiba-tiba seorang tua mencecah abad muncul di depan pintu. kedut dimukanya sudah cukup menggambarkan usia sebenarnya telah hampir 90 tahun. " siapa yang hantar kau ayu, ajak la dia masuk" perempuan tua itu menyuruh gadis itu supaya menjemput aku masuk.
Aku menjadi serba salah. aku melihat jam di tangan sudah pun hampir 8.30 malam. apakah aku perlu singgah untuk minum sambil bersembang dengan perempuan tuan itu atau aku akan mencari alasan untuk terus pulang. Dalam benak ku terlalu sukar untuk memberikan jawapan. Aku juga takut pada pandangan orang di situ andai aku terima pelawaan orang tua itu. Apa kata mereka nanti apabila ada orang luar berada di dalam rumah itu. " Tak pe lah nek, lagi pun dah malam ni, saya pun kena balik cepat. nanti risau pulak orang tua saya". Aku memberanikan diri memberi alasan walaupun pada hakikatnya, ke mana aku pergi tidak pernah diambil kisah oleh orang tua aku. " terima kasih ye encik sebab susah-susah hantar ayu". Suara lembut terkeluar dari mulut ayu. Aku hanya tersenyum sambil membalas senyuman ayu. Dari senyuman ayu jelas tergambar bahawa gadis itu punyai kelembutan yang tersendiri. Matanya yang merenung ke mata ku telah melemaskan aku dan dengan cepat aku mengalih pandangan. Aku meminta diri untuk segera pulang.
Bersama deruan enjin kereta aku meyusur perlahan-lahan meninggalkan rumah ayu. masih jelas dari cermin pandang belakang kereta aku ayu masih belum berganjak dari tempat itu sambil melihat dari jauh sehingga lah penglihatan dihalang oleh pokok rambutan yang berada di hadapan rumah jirannya. Dari simpang jalan pertama dari rumah ayu, kelihatan anak-anak kecil bermain kejar-mengejar. Ada yang sdang memegang ranting kayu sambil melukis di atas tanah dan ada yang berjengket-jengket bermain "teng-teng". Seperti ada pesta sukan rakyat. Damainya kampung ini. Meriahnya kampung ini. Tenangnya kampung ini. Dari satu simpang ke satu simpang aku menyusur sambil melihat suasana malam sehingga lah aku sampai ke jalan besar dan melajukan kenderaan agar cepat sampai ke rumah.
Dalam perjalanan ingatanku tiba-tiba dihuni oleh wajah gadis itu. Senyumannya mula terpancar dalam benak fikiran ku. Suara lembutnya ketika mengucapkan terima kasih mula terngiang ditelinga ku. Aku cuba mengalih ingatan dengan membuka radio era. rangkaian kegemaran ku.
Dari kejauhan malam, cengkerik dan suara-suara malam mula mengambil tempat. Sesekali terdengar bunyi deruan kereta dari arah tingkap. Rumahku yang berada di pinggir jalan sememangnya selalu diganggu oleh deruan enjin. Tapi itu tidak menjadi masalah kerana aku telah pun biasa dengan keadaan begini. Di sinilah aku dilahirkan, dibesarkan dan disekolahkan. Setelah dewasa di sini juga aku mencari ketenangan untuk melepaskan rindu pada keluarga walaupun aku terpaksa berkerja di Bandar. Entah mengapa malam ini terlalu sukar untuk aku melelapkan mata. Ingatan ku masih lagi dibayangi cerita-cerita tadi. saat aku di pantai, saat aku disapa, saat ku terjumpa dengan gadis yang bersalut lumpur, saat aku menghantarnya pulang dan saat aku melihat senyumannya ketika hendak pulang. kadang aku tersenyum sendiri. Aku tak tahu apa yang menggelikan hati.
Suara kokokan ayam jantan Mak Limah mengejutkan aku dari tidur. Kemudiannya seekor demi seekor ayam jantung kampung sahut menyahut memecah bening pagi. Sesekali Ayam jantan hj. Bakar sebelah rumah menyambut kokokan. Kalau di bandar hanya deruan motokar dari pekerja-pekerja serta peniaga -peniaga yang keluar pagi sahaja dijadikan isyarat tibanya waktu pagi. Di kampung terlalu unik. Tuhan amanahkan ayam-ayam ini sebagai jam loceng kepada manusia. Aku menggeliatkan badan. sesekali memusingkan badan ke kiri dan ke kanan. itulah tabiat aku apabila mahu bangun dari tidur. Aku tahu cara ini akan dapat merenggangkan urat-urat belikatku. Mataku sememangnya terlalu berat untuk dibuka. malam tadi aku tidur lewat. Aku gagahi jua ke bilik air untuk mandi. aku lihat diruang dapur sudah terpasang lampu dapur. Aku tahu nenek ku sudah pun bangun. itulah rutinnya setiap pagi dari sebelum arwah datuk ku pergi meghadap ilahi lagi. Masih aku ingat ketika arwah datuk ku masih ada. dia pasti sudah pun berada di surau untuk melaungkan azan. Suara azannya sudah dikenali. siapa yang tak kenal dengan bilal Mansor. laungan azannya memukau di keheningan pagi dengan suaranya yang lunak. Aku pula tidak mewarisi bakatnya.
"Kau tak pergi ke surau Man? cepat sikit sekejap lagi azan" Suara nenek tiba-tiba terdengar dari dapur. " Nak pegi la ni nek, tengah bersiap. Aku menjawab dari pertanyaan nenek dari dalam bilik. Aku cepat-cepat menyarungkan kain pelikat dan memakai baju Melayu dan mencapai kupiah peninggalan atuk yang sudah usang di atas rak kain. Kupiah inilah yag selalu dipakai oleh atuk. Atuk ada banyak kupiah tetapi kupiah inilah yag kerap di pakai. sayang benar arwah atuk dengan kupiah ini. Kupiah ini adalah pemberian Hj. Mat ketika pulang dari Mekah. Sekarang ini cuma tinggal kupiah sebagai kenangan.
Dari samar cahaya dan dinginnya bening pagi aku menyusuri laluan ke surau yang jaraknya selang 3 buah rumah. Dulu waktu kanak-kanak aku selalu bermain sorok-sorok di kawasan ini. masih aku ingat saat aku dihambat oleh arwah atuk sebab ponteng megaji quran. sampai rumah pula aku disebat dengan rotan. begitulah tegasnya atuk aku.
Burung-burung pagi sudah melebarkan sayapnya dari celah pokok rambutan. Ada yang bertenggek dan ada yag melompat-lompat. Nyanyian pagi dilagukan. kicauan mula memecah alam. Dari sarang pula ditinggalkan anak kelaparan dan senja nanti akan pulang membawa makanan. itulah kitarannya. Suria pagi sudah mula menjengak alam. Cahaya matahari sudah menyerakkan sinar dari celah-celah pokok pisang dan belukar. Dari tingkap rumah ku jernihkan mata meneroka indahya suasanan pagi di kampung. " Mari minum dulu Man. nanti sejuk pulak kopi ni" nenek nak ke pasar kejap" . baiklah nek. kejap lagi Man minum.


...bersambung...habis idea...
kepada pembaca..harap sabar ye..mungkin ada ejaan tu masih tak betul lagi..sebab tak buat semakan lagi...cerita pun belum habis ..nanti sambung.....bila free dan bila idea dah ada...

Friday, May 8, 2009

Bila hati mula terdetik


Bila hati mula terdetik...Akal jadi tak keruan, jiwa jadi songsang.


Mungkin ini sebenarnya apa yang boleh digambarkan apabila seseorang itu sudah mula menyimpan satu perasaan. Inilah yang dikatakan perasaan. Cukup halus. Bagaimana perasaan itu wujud? Entah susah nak jawab. Bagaimana pula kita tahu yang kita ada peasaan pada seseorang? Entah, susah juga nak jawab.

Kalau sehari tak dengar khabar gelisah tak ? Kalau sms tak berjawab risau tak?


Persoalan-persoalan perasaan dan tindakbalas dalaman yang wujud apabila hati mula terdetik sebenarnya adalah perkara yang lumrah dalam setiap manusia. Orang yang mnempunyai perasaan terhadap seseorang sudah pasti akan mengalami fenomena sebegini cuma kadar teruk dan tidak sahaja. Manusia norma akan berhadapan dengan permainan perasaan. Tanyalah pada siapa pun. pasti mereka ini juga pernah menghadapinya.


Bagaimana pula orang yang kita suka ini tidak memberi respon. Atau dalam erti kata lain tidak pernah tahu tentang perasaan kita atau tidak mahu pun mengambil tahu. Apakah kita akan pasrah. Rugi kah kita kalau pasrah dan rugikah kita kalau tidak mahu mengalah.


Soal pasrah atau tidak adalah bergantung kepada sejauhmana kesabaran seseorang dan kaedah memujuk hati yang gundah. Ada orang yang membiarkan sahaja perasaan itu dan andai tiada respon akan melupakan terus. Ada orang yang menjadikan kegagalan dalam mendapatkan respon adalah sebagai satu cabaran untuk lebih berusaha.

Perlukah kita percaya pada kata-kata " seperti menunggu bulan jatuh ke riba" sedangkan kita diberi ruang untuk berusaha.


Wanita dilahirkan mempunyai sifat ego, pemalu dan penyayang. Begitu juga dengan lelaki. Ada perkara dan keputusan memerlukan satu tempoh yang lama dan ada perkara yang hanya perlu mengambil masa yang singkat.


Sekiranya seseorang itu masih tidak memberi respon apakah ianya dianggap sebagai keputusan yang muktamad.Mungkin ia dan mungkin tidak.


Pandangan saya merujuk kepada penggunaan istilah muktamad itu adalah bersandarkan kepada satu keputusan yang diperlukan dengan kadar segera bagi mengelakkan pertikaian hasil dari kecelaruan kepada keputusan.


Dalam soal hubungan perasaan, sesetengah orang percaya bahawa ungkapan muktamad tidak wajar diguna pakai. Perasaan itu adalah "infiniti "yang mempunyai kadar peratusan berubah-rubah.


" Sekali air bah sekali pantai berubah"


Perubahan pada perasaan ini adalah sebenarnya satu kurniaan tuhan untuk melihat sejauhmana kekuatan dan kesabaran seseorang itu untuk mengharungi perjalanan hubungan yang berasaskan perasaan.


Seketul batu yang bersifat pejal dan keras pada hakikatnya adalah "muktamad". Sekiranya dihempas sesuatu objek yang rapuh dengan kuat ke atas batu tersebut sudah pasti objek tadi akan hancur tanpa menjejaskan sedikit pun batu tersebut. Walaubagaimanapun sifat batu keras ini tidak akan " Muktamad" sekiranya dititikkan air secara perlahan-lahan dalam tempoh masa yang lama. Sudah pasti batu itu kita akan lihat terdapat kesan lekuk atau berlubang akibat dari titisan air yang berpanjangan. Begitulah juga melenturkan hati yang "muktamad"


Kesabaran dan kesungguhan seseorang itu sudah pasti akan mampu melenturkan hati yang bersifat muktamad


Bila hati mula terdetik bermakna bermulanya proses menitik air. Kegagalan dan kejayaan melentur hati yang muktamad adalah urusan tuhan. Tidak rugi menunjukkan kesungguhan tetapi akan rugi jika takutkan kegagalan.


Wallahuaalam




- Zaidi



Tuesday, May 5, 2009

Kecewakah kita?


Kecewakah kita andai apa yang kita hajati tidak tercapai? Sudah pasti. Sejauhmana? Bergantung pada keadaan. Mungkin sekejap dan mungkin juga lama. Itulah jawapan yang selalu kita dengar apabila berhadapan dengan seseorang yang gagal dalam sesuatu impian.

Persoalan kekecewaan ini sebenarnya dialami oleh semua orang tanpa mengira usia dan darjat. Anak-anak akan merasa kecewa sekiranya permintaannya untuk mendapatkan gula-gula dan aiskrim tidak ditunaikan. bentuk perluahan kekecewaannya akan dipaparkan dalam bentuk menangis dengan kuat sebagai tanda protes. pelajar Sekolah akan merasa kecewa apabila gagal dalam peperiksaan penting dan tanda perluahannya mungkin dengan berkurung di dalam bilik untuk beberapa ketika. Remaja yang bercinta akan merasa kecewa apabila putus cinta dan perluahannya kekecewaannya akan ditunjukkan dengan cara menangis dan menyendiri. Orang tua juga akan merasa kecewa apabila usia emasnya telah disisihkan oleh anak-anak sendiri dan bentuk perluahan kekecewaannya mungkin ditunjukkan dengan cara menyepikan diri dan ada yang membawa diri ke rumah-rumah orang tua.

Kekecewaan ini wujud apabila wujudnya gangguan emosi luar jangka dalam memenuhi tuntutan dan kemahuan yang diharapkan. gangguan emosi ini akan menyerang saraf-saraf diri dan bergerak menggangu proses akal fikiran sehinggakan ada sesetengah orang yang kecewa akan mengambil jalan mudah untuk meredakan kekecewaan. Ada juga yang sanggup membunuh diri kerana terlalu kecewa. Kekecewaan yang berterusan juga akan meningkatkan tekanan atau "stress" dalam diri sekaligus menganggu urusan kerja harian.

Perlukah untuk kecewa? Kekecewaan juga adalah sebahagian dalam perjalanan hidup. orang yang kecewa sebenarnya akan mampu untuk mengenali diri dan melihat sejauhmana ketahanannya dalam menghadapi cabaran hidup. Dalam erti kata lain kekecewaan juga diperlukan dalam kehidupan tetapi ianya bukannlah perlu diundang untuk hadirkan kekecewaan.

Bagaimana untuk hadapi situasi sewaktu diri dirundung kecewa? Dalam kajian pakar-pakar psikologi dan penyelesaian masalah mereka ini telah merumuskan beberapa langkah jangka pendek untuk menghilangkan rasa stress yang tinggi akibat daripada kekecewaan. Bagi orang Islam yang berpegang kepada ajaran agama boleh meredakan tekanan kekecewaan apabila kembali kepada qatha dan Qadar tuhan. Keyakinan terhadap ketetapan dan keputusan tuhan ini akan membawa kita lebih pasrafh dan reda dan mengakui bahawa kita ini adalah manusia yang lemah dan tidak mampu menghadapi keputusan tuhan. Keyakinan ini akan mampu menyedarkan diri kita dan memmberi kita kekuatan untuk mengharungi apa sahaja ketentuan tuhan.

Islam yang berbekalkan alquran dan sunnah rasul telah memandu kita ke arah sikap rasional, reda dan tidak mudah putus asa. Dalam alquran juga disebut bagaimana seseorang itu perlu menghadapi kepayahan sebelum mencapai kejayaan atau perlu menempuh kekecewaan sebelum mengecapi kebahagiaan.


Firman Allah yang bermaksud "


Sesungguhnya bersama -sama susah itu ada kesenangan, maka sesungguhnya bersama-sama susah itu ada kesenangan"


kalau difahami maksud Firman Allah itu jelas di sini bahawa kesusahan dan kegagalan itu ada hubungkait dengan kekecewaan awal dalam menghadapi satu-satu perkara. Kegagalan demi kegagalan dan kekecewaan demi kekecewaan akan dihadapi sehinggalah pada satu saat tuhan menganugerahkan kejayaan dan kebahagiaan yang berpanjangan.


kekecewaan juga mampu diredakan dengan membuat beberapa hipotesisis dan pemerhataian terhadap kelemahan diri dan mencari beberapa jalan penyelesaian serta membina kembali keyakinan diri.


Sikap putus asa sebenarnya akan mengundang kepada kekecewaan yang berpanjangan dan membiarkan diri kita mati sebelum mati.


Beriadah, bersenam, berehat bersama keluarga serta memilih hobi-hobi yang merangsangkan pertumbuhan hormon kawalan tekanan juga mampu membawa kita lari dari kepompong kekecewaan. Sebenarnya kalau dikaji secara terperinci perasaan kecewa itu hanya lah sementara sahaja seperti seekor burung yang hinggap di dahan dan sampai ketikanya ia akan terbang.


Kita ambil satu contoh seseorang yang gagal bercinta. Sewaktu pada peringkat awal orang ini akan mengalami tekanan perasaan, rendah diri, tidak bermaya dan bersifat menyendiri. Perasaan ini sebenarnya adalah lumrah kerana berlaku kejutan awal ketika dirundung kecewa. Orang ini masih belum dapat menerima kekecewaan dan kehilangan akibat dah terbiasa dengan kebahagiaan. tetapi lama kelamaan dan kebijaksanaan mengurus kekecewaan akan menjadikan dia kembali kepada normal. pada suatu ketika orang yang kecewa ini akan bertemu dengan pasangan baru dan kembali membina kebahagiaan.


Justeru itu, percayalah dan yakinlah bahawa kekecewaan sebenarnya adalah langkah pertama untuk kita temui kebahagiaan. Kesabaran dalam menghadapi situasi kecewa akan membuahkan hasil yang tinggi dan akan menjadikan kita lebih matang dan cemerlang dalam hidup. kenapa kita kita perlu kecewa sedangkan kita diberi banyak ruang dan pilihan untuk memilih jalan yang terbaik dalam hidup. Tuhan tidak akan menyempitkan fikiran kita kecuali kita sendiri yang menyempitkan dan tidak mahu berfikir.


Wallahuaalam


" Artikel ini adalah berdasarkan kepada pemahaman dan pandangan penulis berdasarkan pemerhatian sekeliling dan pengalaman yang ditempuhi selama ini"


sekiranya pembaca mempunyai pandangan yang berbeza boleh lah menulis di ruangan komen untuk kita sama -sama berkongsi pandangan.



- Zaidi


6 may 2009



Monday, May 4, 2009

Hidup dan kehidupan- Cabaran dan ujian


Hidup adalah rantaian. Hidup adalah pembelajaran. Keputusan untung rugi hidup bergantung kepada proses pembelajaran tentang hidup.


manusia di anugerahkan tuhan untuk menjalani kehidupan. Disertakan sekali segala keperluan untuk manusia jalani hidup. Pokok-pokok, buah-buahan, tanaman , haiwan ternakan dan segala isi bumi adalah keperluan untuk manusia bagi menjalani proses hidup. Manusia pula dianugerahkan akal untuk menyeimbangkan jalan hidup. yang baik akan sempurna hidup. Yang jahat akan sengsara hidup. perasaan dan nafsu adalah pelengkap kepada bentuk soalan dan ujian dalam hidup. Ada yang tewas kerana memilih jalan hidup yang salah. Ada yang berduka kerana menjadi hamba nafsu ketika hidup.


Ada yang berdayung di muara hidup berbekalkan cekal dan nekad. Ada yang menongkah hidup dengan jalan singkat tanpa melalui proses yang payah. Ada yang diuji tuhan kerana telah merasai kesempurnaan ketika hidup dan ada yang dianugerahkan tuhan satu nikmat yang berpanjangan walaupun pada hakikatnya di sisi masyarakat terlalu daif. Nikmat tuhan rupanya terlalu besar dan luas.


Hidup dan proses hidup adalah rantaian ujian untuk manusia. Allah adalah pemeriksa kepada ujian. markah yang diberikan adalah tepat dan tidak tersasar sedikit pun. Allah juga cetuskan dalam diri manusia dan haiwan punyai perasaan untuk sayang dan disayangi. kasih mengasihani. Manusia dianugerahkan keupayaan akal berfikir melebihi haiwan. Manusia mampu menggunakan akal untuk menghasilkan satu yang baru berdasarkan panduan dan ilham dari allah. haiwan hanya menggunakan akal untuk mentadbir dan mengurus hidup haiwan itu sendiri. Seekor kambing tidak akan terbang seperti burung kerana melalui proses akalnya kambing menggunakan akal untuk faham bahawa dia tidak boleh terbang. Seekor burung akan sentiasa terbang kerana melalui proses akalnya bahawa dia sememangnya boleh terbang.

Manusia pula walaupun tidak boleh terbang tetapi masih mampu untuk berfikir lebih jauh bagaimana untuk boleh terbang lebih tinggi daripada burung. maka terciptalah kapal terbang. Itulah hebatnya akal manusia berbanding haiwan.


Akal, Perasaan dan nafsu tidak dapat dipisahkan. Manusia memerlukan semua ini untuk melangsungkan perjalanan hidup. Baik dan buruk hidup bergantung kepada sejauhmana manusia mengendalikan ketiga-tida elemen ini.


Wallahuaalam


Zaidi


5 May 2009

Saturday, May 2, 2009

aku di ufuk Utara



Semalaman aku menerjah hiruk pikuk bandar George Town. Terkadang rasa seperti berada di dunia metropolitan. Manusia dan batu-batu kota sudah saling kenal mengenal. Penat mula menyapa dalam urat dan jasad ku. Bingit motokar dan hingar-bingar suara manusia menggusarkan apatah lagi aku dibesarkan dalam irama desa yang lembut dan gemalai. Penuh santun.



Cinta bukan sekadar mengungkap janji tapi menghayati

hingga ke seluruh nadi ( Sekadar gambar hiasan)



Jam di tangan tak pernah henti berlari menganjak masa dari saat ke saat, minit ke minit dan jam ke jam. Tanpa sedar sudah lebih 6 jam aku menghadap kota-kota batu yang bertingkat dan gah di laluan umum persiaran Gurney. Semakin malap cahaya mentari semakin ligat manusia berlari. Ada yang bergerombolan dan ada yang berpasangan. yang hanyut dilamun cinta akan berkongsi janji setia. Yang hebat menjadi kasanova akan menabur janji dusta. Yang datang berkereta sudah pasti di sini penuhkan semua isi keluarga. dari yang muda hinggalah ke tua.





Malam sabtu menjanjikan himpunan makhluk beribu memenuhi di setiap pelusuk dan ceruk di persiaran Gurney. Angin senja yang lembut bersuara menggamit tenang dan damai. Biasan cahaya jingga dari matahari senja membuakkan lagi rasa ria dan indah ciptaan tuhan.





Jam 10 malam aku sudah rasa jemu melihat batu-batu dan merpati-merpati yang melepaskan rindu bersama pasangan masing-masing. Aku juga semakin cemburu lantas aku mengorak langkah menuju ke kereta dan mengubah haluan ku sekali lagi ke "stargate". Aku tak pasti kenapa nama tempat ini dinamakan dengan nama tersebut tetapi apa yang aku faham di situ juga terdapat satu kilang yang sama namanya dengan tempat tersebut.





Di sana aku sekali lagi menyusur batu-batu keras yang terhampar sebagai benteng ombak. Masih jelas dengan silau lampu-lampu jalan. Aku labuhkan punggungku di atas batu dan memerhatikan gelagat manusia di situ terutama sekali yang berpasangan. hebat dan dahsyat. Hebat kerana menjadi pemburu cinta dan peneraju cinta yang belum pati setianya. Dahsyat kerana mampu mempertontonkan aksi-aksi hangat di khalayak. Semuanya wajah-wajah dari bangsaku yang bergelar Melayu.





Aku berada di situ sehingga jam 2.00pagi dan kemudiannya aku menghala ke jambatan pulau pinang dan terus ke lebuh raya utara-selatan menghala ke Changkat Jering. Mungkin kerana penat aku terpaksa melelapkan mataku di kawasan rehat Gunung Semanggol.





Hari yang ke dua aku sekali lagi menuju ke Pulau Pinang untuk merasai udara di Feringgi sambil mencari hotel untuk di sewa. malang sekali sudah kehabisan dan aku terpaksa pula mencari hotel di kawasan bandar. nasib aku baik kerana Hotel Evergreen masih lagi ada kosong.





Malam itu aku menginap di hotel Evergreen dengan kadar RM255.00 untuk satu malam. Tak kisah lah. bukannya selalu. Wang boleh dicari. Minda perlu juga rehat yang secukupnya.


Cuaca tidak begitu mengizinkan untuk aku merayau dan melihat gelagat pada malam ini. Aku hanya terpeap di bilik di tingkat 18 sementara menantikan hari esok.





Wallahuaalam





Zaidi





2 MAY 2009

Friday, May 1, 2009

Selamat Hari Pekerja- Menyelinap di sepanjang dataran Queensbay








Wow...cuti lagi...hari ni cuti hari pekerja..Setiap tahun inilah sambutannya. bagi orang-orang besar mungkin caranya berbeza tapi bagi golongan bawahan ni hanyalah memenuhi hari cuti ini dengan bersiar-siar dan melihat persekitaran.

Pemandangan menarik di Pulau seberang

Hari ini destinasi sempena cuti hari pekerja adalah Pulau Pinang. Sememangnya sudah selalu ke Pulau Pinang tapi atas tugas rasmi. hari ini memang betul-betul untuk rehatkan fikiran. memulakan perjalanan seawal 8.00 pagi dengan memandu kereta Perdana V6. Perjalanan yang agak tenang kerana tidak terlalu banyak kenderaan. Melalui jalan Taiping-Butterworth yang sememangnya dihidangkan dengan pemandangan sawah padi yang luas terbentang terutamanya bila memasuki Batu Kurau. Hijau dan mempersona. Anugerah tuhan untuk manusia.











Singgah sebentar di warung tepi jalan sekitar jam 10 pagi untuk menikmati teh tarik dan kemudiannya memulakan kembali perjalanan menghala ke Permatang pauh kemudiannya melalui kg Tanah Liat, Penanti dan terus ke Bukit Mertajam.




Queensbay Mall, Pusat membeli belah terkemuka











Berehat seketika untuk meredakan sakit belakang sambil meninjau dan memerhatikan manusia di Pusat membeli belah. Pelbagai ragam dan gelagat terutamanya beberapa orang pekerja asing yang mengambil kesempatan bertemu rakan-rakan dan kawan-kawan sempena cuti hari pekerja.



Kaki pancing sedang melabuhkan mata kail
sambil menunggu habuan






Selepas jumaat aku meneruskan perjalanan ke Penang dan berehat di pesisir pantai sekitar Queensbay sambil menghirup udara segar dan memerhatikan beberapa orang kaki pancing sedang memperjudikan pancingnya berumpankan udang dan ikan kecil untuk menggoda ikan besar di dasar laut.





Mungkinkah berbaloi tangkapan hari ini.
Semuanya demi anak-anak yang menanti
di rumah


Di pesisir pantai itu juga terhibur rasanya melihat merpati-merpati dua sejoli sedang memadu kasih menguntum janji cuma tak dapat dipastikan sejauhmana janji-janji mereka itu menepati peraturan bercinta.

Sesekali juga menyusur langkah di atas batu-batu pejal dari setapak ke setapak sehinggalah terserempak sepasang merpati liar yang hilang arah tuju dan adab sopan menggunakan cinta sebagai umpan nafsu dan si merpati betina hanya pasrah membiarkan tubuh-tubuh gebunya diuli dan diusap walaupun sedar ada mata-mata umum yang sedang memerhati. Itulah dahsyatnya cinta yang bertuhankan nafsu yang telah terbius akal dan minda dan hilang pertimbangan kesopanan.








Mungkin kerana aku terlalu lama memerhatikan gelagat merpati liar itu lantas menyebabkan mereka tidak begitu selesa mewatakkan drama terlarang itu apatah lagii mata saya cukup tajam melihat.




Beberapa pelancong sedang menikmati keindahan
di sepanjang pulau


Setelah matahari sudah hampir merenjis dahi saya menyusur kembali menghala ke bahagian utara dan beberapa merpati lagi sedang berikrar janji. itulah hebatnya pesisir pantai yang tak berpasir di queensbay.







Setelah hampir senja aku menjamah udara lembut di bibir pantai berkerikil berhadapan dengan Queensbay Mall. Sungguh tenang di sini dengan gelagat kanak-kanak dari pelbagai bangsa sedang bermain layang-layang dengan ditemani ibu bapa sambil bapa pula sedang merakam aktiviti anak-anak untuk diabadikan dalam video. Di hadapan ku pula tersergam megah pulau yang dulunya menyimpan pelbagai cerita dan kisah. Dari jauh aku cuba merakamkan beberapa
Di sebalik batu ada pohon kelapa, ada makna
yang tersendiri bagi mereka yang suka berfikir
keping gambar yang berlatar belakangkan pulau yang indah dan bot-bot pelancong yang setia menjemput dan membawa isi pelancong merasai keindahan di sepanjang pulau.



Wallahualam


- Zaidi












1 May 2009