Bibit -bibit sudah tidak lagi terbibit, ingin dirungkai tidak lagi termampu. Sekian lamanya sudah tidak tercurah di dada blog. Kali ini terasa ingin digagahi segala kudrat yang ada dan mencanang kembali apa sahaja yang terbuku dan terkaku.
Mana mungkin orang seperti aku berhenti menulis walaupun sekadar cerita si penjual petai. Asal bukan cerita dongeng atau tahyul rasanya masih bisa dan masih tajam andai aku berbicara dalam dada terbuka ini.
Sebenarnya ada cerita duka dan menguji kesabaran aku. Tapi bagaimana untuk aku mulakan. Apakah ada kewajarannya untuk aku tulis di sini. Apakah ianya seperti membuka kelemahan sendiri untuk disajikan pada umum atau ianya cukup bagus dihidangkan sebagai santapan pengajaran dan pengalaman.
Adat hidup menongkah arus. Badai kadang datang dengan bengis. kadang badai bertukar jadi bayu. Kadang jadi angin mati. Namun, dari mana keadaan sekali pun badai boleh jadi sahabat andai kita kuat. Badai boleh jadi ubat yang mujarab.
Tahun 2011, melihat kejatuhan aku dalam impak yang terlalu dahsyat. Terduduk, tertiarap, tersungkur. Rasanya ingin bangkit sudah tak terdaya. Usahaku sekelip mata terkubur bersama keringat. Kawan dan sahabat ada yang tumpang sedih dan ada yang tumpang gembira. itu sudah realitinya. Kawan ketawa ramai sekali, kawan menangis terlalu sukar dicari. Dari bulan ke bulan aku hadapi beban yang tak tertanggung. Saban hari bergenang air mata. hilang punca tak terkata. terfikir dalam benak. masih adakah lagi jalan meleraikan kekusutan. masih adakah lagi ruang dan peluang untuk kembali tersenyum.
Doa selalu ku tadahkan setiap selepas solat. Ternyata dugaan ini cukup hebat. Cukup kuat. Masih ada yang sudi untuk mendengar cerita duka ku. dan ramai juga yang akan mengetatkan telinga bila diajak berbual tentang masalah aku. Aku redha dan tabah.
Nekad aku kembali tertanam. Setelah hampir berbulan tercabut dari jiwa. Semangat aku kembali bertaut. Satu persatu aku cuba selesaikan. Alhamdulillah aku hampir pulih. Aku mengharapkan 2012 akan memberi perkhabaran yang terbaik untuk aku. Perkhabaran yang akan membawa aku keluar dari keadaan yang memeritkan ini.
Aku telan pahit agar jadi ubat. Aku buang manis agar tidak lagi jadi racun. Aku bangkit dari mimpi ngeri untuk menyambut suria pagi. Bukan lagi mengharapkan pelangi yang indah berbalang 7 warna. Tapi sinar yang terang untuk seluruh alam. Agar nanti hidupku akan lebih sempurna untuk aku kongsi semangat ini pada semua.
Aku yakin aku berjaya. Aku yakin aku mampu lebih baik dari apa yang aku hadapi sekarang. Aku yakin tuhan berikan aku ujian kerana ingin menghadiahkan aku kejayaan.
amin
edyxray
8 Oktober 2011
No comments:
Post a Comment
tinggalkan komen anda di sini agar kita dapat berkongsi maklumat dan pandangan