Thursday, April 23, 2009

Perjalanan yang memenatkan

Alhamdulillah...sampai juga ke Penang setelah habis mesyuarat di Klang. Nak tak nak inilah rutin yang terpaksa dihadapi sebagai penjawat awam. Akur dengan tugas. bermula 20hb hingga 23 hb, mengadap komputer untuk menyiapkan tugasan rasmi dan hari ini pula terpaksa memulakan perjalanan ke Penang untuk tugasan baru.

Cerita di klang masih lagi terngiang-ngiang di kepala. Pengalaman pertama diserang dalam bentuk ancaman oleh seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah ketika hendak memasukkan wang di Bank Islam Klang.

Ceritanya bermula apabila saya secara bersendirian pergi ke ATM Bank Islam Cawangan Klang pada sekitar jam 7.15 pm 22 April 2009 untuk memasukkan wang ke dalam ATM. Secara tiba-tiba datang seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah meminta wang daripada saya atas alasan belum makan. Saya tidak melayan kehendaknya lalu saya meminta pengawal keselamatan menghalau orang itu kerana bimbang takut mengancam keselamatan saya apatah lagi di tangan saya ada wang RM 500.00 untuk di masukkan ke dalam ATM. Apa yang saya kesalkan ialah sikap pengawal keselamatan itu buat tak tahu permintaan saya sedangkan waktu itu saya berada di premis Bank Islam dan menjadi tanggungjawab Bank Islam untuk memastikan keselamatan pelanggan.

Orang itu yang gagal mendapatkan wang daripada saya terus menuju kepada seorang lagi pelanggan yang berada di premis yang sama dan meminta wang tapi tidak juga dilayan oleh orang itu. Akhirnya orang itu keluar. Setelah orang itu keluar saya memanggil pengawal keselamatan untuk menjelaskan bahawa terlalu merbahaya membiarkan orang-orang sebegini menghampiri pelanggan apatah lagi ketika pelanggan sedang membuat urusan memasukkan wang. Tiba-tiba orang itu terus menerpa saya dan memarahi saya dalam bentuk mengancam keselamatan saya. Saya terpinga-pinga dan mengambil pendekatan mengalah bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Kejadian ini turut di saksikan oleh pengawal keselamatan tapi malangnya pengawal keselamatan hanya berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan. Saya bercadang untuk ajukan perkara ini kepada pengurus bank dalam masa yang terdekat dan saya percaya dalam premis itu juga terdapat cctv yang merakam kejadian tersebut dan saya berharap agar pihak bank dapat melakukan satu tindakan yang terbaik bagi keselamatan pelanggan.
Dalam perasaan masih terkejut saya terus pulang ke hotel dan menceritakan pengalaman saya kepada kawan-kawan.

Hari ini juga adalah hari yang memenatkan kerana terpaksa bergegas ke Penang. Saya sampai di Penang jam 1.30 pagi dan menginap di Hydro Hotel Batu Feringgi. Walaupun badan penat tapi mata pula tak nak tidur. Kesempatan ini saya ambil untuk menulis blog saya.

Esok pagi-pagi kena bangun untuk mengadap tugasan baru.


Wallahuaalam

Zaidi

24 Feb 2009 ( jam 2.00 pagi)

Sunday, April 12, 2009

Masa Oh Masa- Kesan kepada pengurusan hidup


Tidak dapat tidak perancangan yang ala kadar dan sikap menangguhkan setiap kerja atau urusan akan mengundang kepada kemerosotan sistem kerja. Sikap begini menyebabkan banyak perkara tidak dapat diselesaikan dalam waktu yang ditetapkan dan akan meninggalkan kesan yang negatif terhadap mutu kerja.


Pengurusan masa yang tidak betul menjadi faktor pendorong kepada hilangnya mutu kerja. Betul lah apa yang orang dulu-dulu kata Masa itu Emas dan Alquran juga menyebut bahawa "Demi Masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian". Pengurusan masa yang betul melibatkan hubungkait kepada beberapa rangkaian yang terlibat dalam mengendalikan kerja yang sama. Masa itu adalah lambang kerjasma. Masa itu adalah lambang ketepatan. Masa itu juga adalah lambang kejayaan. Setiap detik adalah bernilai. Setiap saat adalah entiti kejayaan. Ketepatan mengira masa akan mampu menstabilkan pengurusan hidup.


Berapa ramai yang dapat menepati masa. Waktu kerja pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang adalah ukuran kepada ketepatan waktu berkerja. punch card adalah pengawal ketepatan untuk rujukan majikan tapi disiplin diri adalah pengawal ketepatan masa untuk individu. Orang Jepun dan Korea cukup bijak menguruskan masa. Tak Mustahil mereka ini mampu melakukan kerja dengan baik dan bersistematik. Orang Melayu selalu ditinggalkan oleh masa. Mungkin orang Melayu telah membudayakannya sehingga apabila waktu mesyuarat pukul 9.00 maka akan ada yang hadir pukul 9.10 mini. Apabila ditanya kenapa ianya melebihi jam 9.00, jawapannya cukup mudah.."Biasa lah..Jam Melayu". Budaya Jam Melayu inilah menyebabkan kualiti kerja orang Melayu agak merosot berbanding dengan orang Cina ( Bukan semuanya).


Oleh itu, Masa adalah segala-galanya. Masa lah yang akan menjadi penentu jatuh bangun seseorang. Masa lah yang meruntuhkan kepercayaan seseorang dan masa juga akan melenyapkan manusia di muka bumi ini.


Terima Kasih


- Zaidi


12 April

Thursday, April 2, 2009

Kabare...


Dah lama tak menulis dan tak update ..sibuk sikit sejak akhir-akhir ni. Apa tidaknya program kat sekolah pun banyak. Tahun ni lagi la mencabar nak mengadap student yang kadang-kadang memeningkan kepala. Kerja projek folio pun belum sampai suku lagi. dah tak tahu nak cakap dah.kadang-kadang rasa tension juga tapi inilah cabaran jadi guru. nak tak nak kena hadapi dengan tabah demi kejayaan anak didik. pagi ini terpaksa menghadiri mesyuarat Kem Seni Visual di Ipoh. pagi-pagi lagi dah bertolak. Nasib baik kereta Perdana V6 ku mampu lari 150 km/j. kalau ada polis tadi mampus kena saman. kalau tak speed takut tak sempat sampai. Sampai ke JPN lebih kurang kul 8.30 pagi. lepak sekejap dan masuk bilik mesyuarat untuk selesaikan kerja yang diberi. Rehat tengahari jam 1.00 tengahari. lepak ngan kawan-kawan sambil minum teh tarik. lepas tu pergi surau dan masuk balik ke bilik mesyuarat untuk sambung tugas.

Dapat gak siapkan draf pertama untuk pangkalan data peserta. mungkin 23 hb ni kena pergi Penang pulak untuk mesyuarat kali ke dua. inilah tugas yang perlu diselesaikan.

Habis mesyuarat tadi pukul 5.00 petang. Pergi bandar ipoh untuk bayar bil celcom. Selesai bayar bil terus balik rumah. Hari ni cuaca tak berapa elok. sampai kat Batu Gajah hujan turun tapi tak de la lebat. boleh la lagi bawa 120km/j. Jangan ada yang melintas udah le..takut tak sempat nak brek.

Sampai rumah singgah kedai kejap untuk tengok progres kerja budak-budak. depa ni nak kena pantau selalu. maklum la..bila bos tak ada banyak hala tujunya. kalau kerja siap tak apa la tapi yang menyedihkannya banyak kerja tak siap. berasap gak kepala. apa tidaknya, dah la barang nak cepat tapi tak siap-siap gak. ini yang rasa angin semacam ni.

Nampak gaya esok kena bagi taklimat sikit supaya semua faham tugas masing-masing. tak kan nak makan gaji free je. lemak la...

Balik rumah ..mandi..solat dan rehat... Lepas berita pergi kedai makan kueh teow..best gak..maklum la perut lapar ..makan kayu pun best..ubi kayu la..kayu balak tak leh la..nanti patah gigi.

Lepas makan terus balik rumah dan buka internet..baca berita dan baca blog..macam-macam isu..ada politik, hal ehwal semasa, kerohanian dan artikel-artikel yang berkaitan psikologi manusia. Hari-hari memang nak kena mengadap internet dulu sebelum tidur ..kalau tak otak jadi beku..kalau dah beku camana nak menulis dan berhujah.


ok..jumpa lagi
2 April 2009