Friday, October 14, 2011

Bila Hati Mula Terdetik



Bila hati mula terdetik...Akal jadi tak keruan, jiwa jadi songsang.




Mungkin ini sebenarnya apa yang boleh digambarkan apabila seseorang itu sudah mula menyimpan satu perasaan. Inilah yang dikatakan perasaan. Cukup halus. Bagaimana perasaan itu wujud? Entah susah nak jawab. Bagaimana pula kita tahu yang kita ada peasaan pada seseorang? Entah, susah juga nak jawab.


Kalau sehari tak dengar khabar gelisah tak ? Kalau sms tak berjawab risau tak?




Persoalan-persoalan perasaan dan tindakbalas dalaman yang wujud apabila hati mula terdetik sebenarnya adalah perkara yang lumrah dalam setiap manusia. Orang yang mnempunyai perasaan terhadap seseorang sudah pasti akan mengalami fenomena sebegini cuma kadar teruk dan tidak sahaja. Manusia norma akan berhadapan dengan permainan perasaan. Tanyalah pada siapa pun. pasti mereka ini juga pernah menghadapinya.




Bagaimana pula orang yang kita suka ini tidak memberi respon. Atau dalam erti kata lain tidak pernah tahu tentang perasaan kita atau tidak mahu pun mengambil tahu. Apakah kita akan pasrah. Rugi kah kita kalau pasrah dan rugikah kita kalau tidak mahu mengalah.




Soal pasrah atau tidak adalah bergantung kepada sejauhmana kesabaran seseorang dan kaedah memujuk hati yang gundah. Ada orang yang membiarkan sahaja perasaan itu dan andai tiada respon akan melupakan terus. Ada orang yang menjadikan kegagalan dalam mendapatkan respon adalah sebagai satu cabaran untuk lebih berusaha.


Perlukah kita percaya pada kata-kata " seperti menunggu bulan jatuh ke riba" sedangkan kita diberi ruang untuk berusaha.




Wanita dilahirkan mempunyai sifat ego, pemalu dan penyayang. Begitu juga dengan lelaki. Ada perkara dan keputusan memerlukan satu tempoh yang lama dan ada perkara yang hanya perlu mengambil masa yang singkat.




Sekiranya seseorang itu masih tidak memberi respon apakah ianya dianggap sebagai keputusan yang muktamad.Mungkin ia dan mungkin tidak.




Pandangan saya merujuk kepada penggunaan istilah muktamad itu adalah bersandarkan kepada satu keputusan yang diperlukan dengan kadar segera bagi mengelakkan pertikaian hasil dari kecelaruan kepada keputusan.




Dalam soal hubungan perasaan, sesetengah orang percaya bahawa ungkapan muktamad tidak wajar diguna pakai. Perasaan itu adalah "infiniti "yang mempunyai kadar peratusan berubah-rubah.




" Sekali air bah sekali pantai berubah"




Perubahan pada perasaan ini adalah sebenarnya satu kurniaan tuhan untuk melihat sejauhmana kekuatan dan kesabaran seseorang itu untuk mengharungi perjalanan hubungan yang berasaskan perasaan.




Seketul batu yang bersifat pejal dan keras pada hakikatnya adalah "muktamad". Sekiranya dihempas sesuatu objek yang rapuh dengan kuat ke atas batu tersebut sudah pasti objek tadi akan hancur tanpa menjejaskan sedikit pun batu tersebut. Walaubagaimanapun sifat batu keras ini tidak akan " Muktamad" sekiranya dititikkan air secara perlahan-lahan dalam tempoh masa yang lama. Sudah pasti batu itu kita akan lihat terdapat kesan lekuk atau berlubang akibat dari titisan air yang berpanjangan. Begitulah juga melenturkan hati yang "muktamad"




Kesabaran dan kesungguhan seseorang itu sudah pasti akan mampu melenturkan hati yang bersifat muktamad




Bila hati mula terdetik bermakna bermulanya proses menitik air. Kegagalan dan kejayaan melentur hati yang muktamad adalah urusan tuhan. Tidak rugi menunjukkan kesungguhan tetapi akan rugi jika takutkan kegagalan.




Wallahuaalam







- Zaidi

Sunday, October 9, 2011

Seharian Di Pulau Pangkor


Sudah lama aku tak menjejakkan kaki aku di Pulau Pangkor. Kali ini ada juga kesempatan buat aku untuk menjengah ke sana.

Kali ini aku menggunakan Marina Island sebagai pintu masuk. Jeti yang baru dibuka hanya beberapa tahun ini sebenarnya cukup menarik dan lengkap dengan kemudahan. Waktu petang di marina Island sudah pastinya akan menggamit kenangan yang tersendiri.

Kebiruan laut dari pulau buatan ini mengasyikkan dengan berhiaskan pokok pokok dan lanskap-lanskap yang indah. Laut di senja hari pula berbalang jingga biasan dari matahari lewat yang akan menyusup tenggelam dari ufuk barat.

Aku sempat menghalakan lensa kamera aku kepada beberapa lokasi yang menarik di sekitar marina Island sebagai pelengkap kunjungan aku ke sana.

Dari Jeti marina Island ke jeti Pangkor hanya mengambil masa lebih kurang 7 minit dengan tambang feri sebanya RM10.00 pergi dan balik. Tapi bagi mereka yang belum ada kad keahlian, boleh mendaftar di kaunter dengan bayaran RM 10.00.

kebiruan laut dan ketenangan petang memberikan satu kepuasan sepanjang perjalanan ke pangkor. Mungkin sudah lama tidak bertandang, aku semacam seperti sesat dalam pulau. Untuk memudahkan perjalanan ke sana aku menyewa motor dengan bayaran RM30.00 untuk satu hari.

Destinasi pertama aku di Pulau Pangkor adalah pasir Bogak dan kemudiannya Teluk Nipah. Sudah banyak perubahan dari segi kemudahan. banyak lot-lot kedai cenderamata dan deretan kedai makan telah dibina untuk kemudahan pelancong. Chalet-chalet dan rumah-rumah tumpangan tumbuh bagai cendawan dengan harga sekita rm 50.00 hingga rm180.00. Penginapan bergantung kepada standard bilik dan keselesaan.

Pastinya di sini menjanjikan kepuasan yang menyeronokkan dan tak rugi ntuk berkunjung bersama keluarga. Kebiruan air laut dan kedamaian suasana pantai pastinya akan dikenang sampai bila bila.


selamat melancong.

nantikan destinasi akan datang.



sambil-sambil rilek-rilek kat pantai bogak sempat juga aku tulis puisi tanpa tajuk ni. idea spontan. tapi tak pandai sangat mengolah idea.



ini puisinya....


Aku singgah sebentar di Pasir Bogak
Seharian aku menyusur pulau
membawa kesunyian dan keterasingan
sesekali akum mengintai di ceruk batu
ada merpati sejoli mendodoikan cinta
penuh syahdu
Diukir janji cintanya di dada pasir.

Sesekali ombak manja bertandang
datang dan pergi
sesekali riuh sang camar
melewati dada laut yang terhampar

sesekali aku mendongak ke langit
ada lukisan awan dalam bahasa yang berbeza
terpalit bersama bias warna
seakan warna jingga

sesekali aku mengenang diriku
kosong dan kaku
hilang arah tuju


mohd zaidi

9 oktober 2011

Pulau Pangkor Perak

Friday, October 7, 2011

Sudah sekian lama tinta ku terhenti...



Bibit -bibit sudah tidak lagi terbibit, ingin dirungkai tidak lagi termampu. Sekian lamanya sudah tidak tercurah di dada blog. Kali ini terasa ingin digagahi segala kudrat yang ada dan mencanang kembali apa sahaja yang terbuku dan terkaku.



Mana mungkin orang seperti aku berhenti menulis walaupun sekadar cerita si penjual petai. Asal bukan cerita dongeng atau tahyul rasanya masih bisa dan masih tajam andai aku berbicara dalam dada terbuka ini.



Sebenarnya ada cerita duka dan menguji kesabaran aku. Tapi bagaimana untuk aku mulakan. Apakah ada kewajarannya untuk aku tulis di sini. Apakah ianya seperti membuka kelemahan sendiri untuk disajikan pada umum atau ianya cukup bagus dihidangkan sebagai santapan pengajaran dan pengalaman.



Adat hidup menongkah arus. Badai kadang datang dengan bengis. kadang badai bertukar jadi bayu. Kadang jadi angin mati. Namun, dari mana keadaan sekali pun badai boleh jadi sahabat andai kita kuat. Badai boleh jadi ubat yang mujarab.



Tahun 2011, melihat kejatuhan aku dalam impak yang terlalu dahsyat. Terduduk, tertiarap, tersungkur. Rasanya ingin bangkit sudah tak terdaya. Usahaku sekelip mata terkubur bersama keringat. Kawan dan sahabat ada yang tumpang sedih dan ada yang tumpang gembira. itu sudah realitinya. Kawan ketawa ramai sekali, kawan menangis terlalu sukar dicari. Dari bulan ke bulan aku hadapi beban yang tak tertanggung. Saban hari bergenang air mata. hilang punca tak terkata. terfikir dalam benak. masih adakah lagi jalan meleraikan kekusutan. masih adakah lagi ruang dan peluang untuk kembali tersenyum.



Doa selalu ku tadahkan setiap selepas solat. Ternyata dugaan ini cukup hebat. Cukup kuat. Masih ada yang sudi untuk mendengar cerita duka ku. dan ramai juga yang akan mengetatkan telinga bila diajak berbual tentang masalah aku. Aku redha dan tabah.



Nekad aku kembali tertanam. Setelah hampir berbulan tercabut dari jiwa. Semangat aku kembali bertaut. Satu persatu aku cuba selesaikan. Alhamdulillah aku hampir pulih. Aku mengharapkan 2012 akan memberi perkhabaran yang terbaik untuk aku. Perkhabaran yang akan membawa aku keluar dari keadaan yang memeritkan ini.



Aku telan pahit agar jadi ubat. Aku buang manis agar tidak lagi jadi racun. Aku bangkit dari mimpi ngeri untuk menyambut suria pagi. Bukan lagi mengharapkan pelangi yang indah berbalang 7 warna. Tapi sinar yang terang untuk seluruh alam. Agar nanti hidupku akan lebih sempurna untuk aku kongsi semangat ini pada semua.



Aku yakin aku berjaya. Aku yakin aku mampu lebih baik dari apa yang aku hadapi sekarang. Aku yakin tuhan berikan aku ujian kerana ingin menghadiahkan aku kejayaan.






amin






edyxray






8 Oktober 2011












Saturday, December 18, 2010

SELAMAT PAGI PERLIS. ( PERKHABARAN DARI UTARA)



Selamat pagi Indera Kayangan. Merentasi lebuhraya yang dipenuhi kehijauan menggamit kenangan yang mengasyikkan. bermula dari Kuala lumpur melalui Lebuhraya Plus dengan kelajuan 110km/j saya memulakan perjalanan dari pantai barat ke utara. Destinasi saya kali ini ialah sebuah negeri yang terkecil sekali dalam Malaysia. Perlis Indera kayangan yang berkeluasan 810 km² dengan populasi penduduk seramai 245,636. Kalau sebelum ini kebanyakan perjalanan saya ke utara hanya terhenti di sekitar Kedah tapi kali ini saya cuba melabuhkan percutian saya ke Perlis untuk melihat secara dekat masyarakat di sana dan juga merasai masakan perlis.
Keindahan sawah padi dengan dipagari pohon pohon sudah menjadi santapan rutin bagi sesiapa yang melalui jalan menghala ke Guua kelam. pemandangan yang sungguh mendamaikan.

BERTEMU KEMBALI


Sudah lama rasanya saya tidak mengemas kini blog ini dan rasanya juga sudah lama tidak menulis. Untuk bermula juga sudah semakin liat dan malas. ketandusan idea serta sudah kontang pemikiran untuk dicanangkan di sini. Namun apalah ertinya sebuah blog kalau hanya sekadar memaparkan cerita cerita lama dan sudah basi tanpa ada input input terkini untuk dikongsi bersama.

Mungkin juga salah satu sebab pudarnya minat menulis di blog keranan terlalu sibuk dengan cerita cerita santai di Facebook serta leka melayan karenah rakan rakan di facebook. Kali ini saya meluangkan sedikit masa sambil minum Kopi O di Old Town White Cofee di brickfield dalam sesi memanaskan badan. Saya akan kembali menulis dan mengupas apa yang termampu dan teridea dalam benak saya.

Idea tak semestinya menarik. Kupasan tak semestinya perkara penting tapi cukup sekadar untuk dikongsi bersama. Saya percaya ramai pembaca juga mencari kelainan dari masa ke semasa. Ada orang suka berada di Facebook berjam jam lamanya. Ada orang hanya sekadar singgah di Facebook untuk menjengok rakan rakan dan kemudiannya kembali ke blog.

Di Blog banyak ceritanya dan di facebook juga banyak ceritanya cuma yang mana terbaik menjadi pilihan pengunjung. Tanpa pengunjung setiap tulisan tidak memberi apa apa makna dan tiada tulisan pengunjung juga akan beralih arah. Ini sebenarnya yang cuba kita leraikan agar kedua duanya berkait rapat dan berkerjasama antara satu sama lain.

wallahuaalam

Edy
Old Town White Cofee
Brickfield
19 December 2010

Wednesday, July 21, 2010

KU LEPASKAN MERPATI PUTIH

Hari ini ku lepaskan merpati putih
Dari sangkar hati
Agar tidak lagi mati
Dipenjara janji

Hari ini ku lepaskan merpati putih
Yang sekian lama terkurung merintih
Agar nanti ianya bebas
Mencari dahan yang ampuh
Dari pohon yang teguh

Hari ini ku lepas merpati putih
Dari seluruh yang ada
Bersama sayap sayap hidup yang dibawa
Bebas terbang di angkasa

Edy

6 Dec 2009

SEWAKTU MELANCONG KE MELAKA

CAMAR YANG HILANG

Hari ini aku bercerita lagi
Tentang camar yang hilang
Dalam sebak pilu sakit yang menyongsang
Membenam ke dalam diri sedalam dalam
Sakit ,….saki…sakit…bukan lagi kepalang

Camar terbang pergi di sore jingga
Dalam kelam senja
Meredah malam yang berbisa
Aku tercari cari dengan nista,
Hilang segala upaya

Sudah saban waktu bergenang air mata
Ada rindu yang tersesat di dada
Ada sayang yang terpahat di jiwa
Ada kasih yang sudah terbina

Hari ni camar pergi tanpa pesan
Tinggal aku sendirian
Canggung rasanya hari hari mendatang
Tanpa camar yang ku sayang

****PULANGLAH CAMAR*****
MOHD ZAIDI ABDUL WAHAB (

UNTUK APA DICATAT LAGI

Untuk apa dicatat lagi
Sudah kering agaknya dakwat
Atau mungkin sudah tidak mahu melekat
Walau berkali dicalit
di atas kertas yang semakin carik

puas dipujuk agar terus mengalir
menyatatkan cerita cerita gembira
agar hilang hiba di dada
di atas kertas carik yang dimamah usia

kalaupun mampu dakwat ini mengalir
sederas air mudik ke hilir
apa mungkin ceritanya nanti cerita bahagia
sedang diminda tersemat cerita duka

atau mungkin kisah camar yang hilang tiba tiba
setelah ditemui seketika di sore senja
dalam samar cahaya terpalit bias warna jingga
santun berbicara pandai berkata kata

atau mungkin kisah aku yang hilang camar kesayangan
setelah aku diulit lena dengan lagu “kembali pulang”
yang hinggap ditelinga saat aku keseorangan
tatkala menyusun impian dan harapan

edy


26 December
Perak darulridzuan

Sunday, June 27, 2010

CERITA DARI UTARA...sempena Cuti Pertengahan Tahun


Mungkin agak terlewat untuk saya catatkan perjalanan saya kali ini sepertimana rutin sebelum ini. Waktu yang terlalu sibuk dan aktiviti selepas cuti telah menghadkan masa untuk saya menulis catatan pengalaman.
Seperti juga manusia lain yang perlukan rehat dan ketenangan setelah penat berkerja, kali ini minat saya untuk memulakan perjalanan adalah ke utara. Lokasi ini sekali lagi saya pilih setelah berbuat demikina pada tahun 2005. Mungkin sudah 5 tahun tidak menjelajah ke utara menikmati keindahan sawah padi yang menghijau khususnya di kawasan jelapang padi di Kedah dan sebahagian di Perlis. salah satu pemandangan sawah padi yang sempat diintai oleh lensa kamera saya



Destinasi pertama adalah ke Pulau Aman menerusi pintu masuk utama yang berjarak lebih kurang 15 km dari stadium batu kawan. Jeti Batu musang yang berkeluasan sederhana adalah lokasi permulaan sebelum melangkah masuk ke Bot yang hanya dikenakan tambang RM6.00 sahaja untuk perjalanan pergi dan balik. Keindahan Pantai yang bersih dan membiru menggamit kehadiran pengunjung pengunjung dengan ketenangan yang amat dinantikan.






pemandangan Pulau Aman dari udara



Saya menghabiskan masa selama satu hari di Pulau Aman sambil menikmati keindahan pulau dan keramahan penduduk yang rata rata berkerja sebagai nelayan. chalet yang serendah RM70.00 sebenarnya cukup berbaloi dan mampu dinikmati oleh semua orang. Chalet yang diusahakan oleh persatuan Nelayan dibina khusus bagi memenuhi permintaan pelancong dan pengunjung yang semakin meningkat khususnya pada musim cuti sekolah. ianya bukan sahaja dikunjungi oleh pengunjung yang datang dari jauh tetapi juga telah menjadi satu destinasi untuk bersama sama keluarga khususnya di kalangan masyarakat Cina untuk bersantai bersama keluarga di restoren terapung di Pulau Aman yang terkenal dengan masakan laut yang segar .

...bersambung..ada kelas sekarang ni..sabar ye


Sunday, May 30, 2010

MISI YANG TAK MENJADI



Kali ini misi ku dalam memburu ikan besar tak berapa menjadi. Arus laut agak deras dan mengikut perkiraan tarikh pada bulan hijrah ada terkena pada tempoh yang tidak sesuai untuk memancing. Tapi apa yang jelas adalah kepuasan walaupun tak dapat ikan.
Perjalananku bermula dari kg. Gajah pada hari khamis iaitu sekitar jam 5.00 petang. Destinasi pertama aku adalah ke kawasan berteluk di belakang Marina Cuve. Dis situ sememangnya bukanlah port yang suseia untuk memancing kerana airnya yang cetek dan merupakan laluan bot yang ingin berlabuh. tapi aku cuba juga lontarkan tali pancing. kali ini yang pertama kali dapat dinaikkan adalah ikan sembilang. Saiz bukan ukuran tapi keseronokkan ketika menaiikan ikan itu yang tak dapat nak digambarkan.
Selain ikan sembilang, seekor belut juga berjaya ditewaskan. Oleh kerana hasilnya yang kurang memuaskan aku mula memulakan langkah ku ke kawasan yang juga cukup dikenali oleh kaki pancing di sekitar lumut iatu di Marina pangkor Island. Sekitar jam 11.00 malam aku berada di sana berbekalkan umpan udang hidup yang masih menyimpan nyawa nyawa terakhir sebelum lemas di dalam bekas yang sempit dan menyeksakan ini.
kaki pancing memang cukup ramai dan aku juga waktu itu menjadi sebahagian warganya dan yang menyedihkan tiada seekor pun yang berjaya dinaikkan. Aku berada di situ sampai pagi. Dan mejadi alas tidurku adalah tikar dan kotak yang memang tersedia ada dalam kereta.
Sebelah pagi aku mula berkira kira untuk ke destinasi lain. destinasi seterusnya aku memilih Teluk Senangin. kata orang di sini juga menjadi tumpuan ikan ikan bergerak aktif dan sesuai bagi udang udang hidup yang menunggu mati ini.
Tapi sekali lagi aku hanya mampu melihat ombak laut yang silih berganti sahaja sebagai ganti kepada ikan yang datang. rupa rupanya bukan aku seorang. rakan rakan pancing lain juga berkeadaan sama dengan hanya lebih banyak menarik mata pancing daripada menarik ikan yang terlekat di mata pancing.
Belum puas di teluk Senangin aku menghala pula ke Sabak Bernam dan berkampung di Sungai Lang. Tempat ini jga dikhabarkan sebagai port memancing. memang benar kalau mengikut apa yang dilihat. ramai juga kaki kaki pancing menduga nasib di sini. ombak dan air cukup kuat bergelora. Dekat Sungai lang aku hanya berjaya menaiikan ikan gelama seberat beberapa tahil sahaja. waduh waduh.
dari sabak Bernam aku kemudiannya menghala ke Bagan Datok dan mencuba kail aku di jeti Bagan datok. Arus cukup kuat sekitar jam 12.00 malam di situ. terdapat beberapa orang rakan lain sudah pun berjaya mengangkat ikan sembilang sebesar lengan. tapi aku tak dapat lagi. maknanya nemang betullah orang kata waktu waktu ini tidak sesuai untuk turun memancing.
pada esok paginya, seawal pagi aku memulakan langkah aku ke Kg Setiawan untuk membeli umpan dan sekali lagi aku bertandang ke Teluk Senangin. Sekali lagi juga aku dihampakan dengan kegagalan mengangkat ikan walau hanya sekadar sebesar kelingking.
Sebelah petang aku berangkat pulang dan singgah di Jambatan Bainun. Orang nampaknya agak ramai. Mumngkin pelancong atau kaki pancing tegar. Aku sekali lagi membuka bot kereta aku dan mengambil pancing paling kecil untuk mencuba nasib di sini. malangnya masih juga tak berhasil dan akhir nya aku pulang. Walaupun Penat dan tiada ikan tapi kepuasan tetap ada kerana dapat juga merasai sendiri pengalaman memancing di beberapa buah tempat dalam waktu yang agak terhad


terima kasih

edy

31 meki 2010

Sunday, May 23, 2010

MISI MENERJAH TELUK DALAM

Haaaaaaaaaaaaaaaaaarrrrrrrrrrrrrrrrriiiiii Mingguuuuu...huhuhuhuhu...Terjah kitaaaa.....




Ini dia ceritanya. Teluk dalam sekali lagi menjadi sasaran terjahanku kali ini. Berbekalkan 4 batang pancing dan 100 ekor udang hidup untuk dijadikan umpan. mana tau dapat menjinakkan jenahak atau kerapu. Bermula perjalanan sekitar jam 7.00 mlm dari Kg. gajah ke Lumut dan bermalam di sana sambil sambil mencuba nasib di sekitar water front. tapi tak ada rezeki agaknya. tak berjaya mengangkat walaupun sekadar kerapu kecil.
Sekitar jam 12.30 malam kaki pancing yang mengambil kesempatan untuk bersantai dan memancing sudah mula mengangkat punggong untuk ke destinasi yang tak diketahui atau ada juga yang sudah berkira kira untuk pulang ke rumah.





Suasana semakin sunyi dan hanyak seketika dikunjungi kereta kereta sesat yang terisi pasangan pasangan yang sedang bermadu kasih. Sekitar jam 1.30 pagi hujan turun dengan lebat dan terpaksa mengangkat mata kail tanpa hasil dan mencari tempat untuk berteduh dan melepaskan lelah. Sasaran utama sudah pasti MCdonald 24 jam yang terletak sekita 5km dari lumut.
Sesampainya di sana hujan semakin lebat dan aku melabuhkan mesin bertayar empat aku dengan nombor pendaftaran BFX 4833 di satu sudut yang dikira selamat. Sementara menantikan waktu yang sesuai untuk minum aku masuk ke dalam untuk mencari sumber elektrik memandangkan laptop sudah pun kehilangan bateri.





Aku berada di MCD sehingga jam 6.00 pagi dan kemudiannya menunaikan solat subuh di masjid Seri Manjung dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kg. Setiawan. Hujan masih lagi turun dan beberapa kumpulan kaki pancing masih tertunggu tunggu waktu yang sesuai untuk turun memandangkan cuaca yang kurang baik dan laut bergelora.








Sekitar jam 7.00 pagi aku teruskan hasratku untuk ke laut dengan berbekalkan doa agar diselamatkan dari perkara yang tidak diingini. Yang mabuk laut pastinya akan termuntah dengan hayunan seperti berada di atas buaian. Alhamdulillah aku masih mampu menahannya walaupun dalam keadaan terhuyung hayang. laut kian bergelora sehebat jiwa ku yang bergelora untuk mengangkat ikan besar.
Jam 8.30 pagi aku sudah pun berada di kawasan Teluk Dalam dan sudah pun mendapat hasil pertama iaitu ikan kerapu berbalang kuning.




Ini dia mungkin titik awal pertarungan. Bermula lah episod pertama pertarungan mengangkat ikan seberat 3kg. Tak besar tapi puas.
pertarungan akhirnya berhenti sekitar jam 7.00 malam untuk bersiap sedia pulang ke rumah dengan hasil pancingan yang berbaloi. Tong putih sudah pun berisi ikan dan yang ringan sudah menjadi berat.


Terima kasih dan nantikan untuk cerita akan datang


salam untuk semua

edy

24 Mei 2010

Thursday, May 20, 2010

SELAMAT HARI GURU...

Tanggal 16 Mei akan disambut semeriah mungkin. Golongan pendidik begitu teruja dan itulah hari hari yang dinanti- nantikan. Sekolah sekolah seluruh negara akan sibuk mengadakan program sempena hari guru. Pengisiannya sudah pasti lagu guru Malaysia, Puisi-puisi pula sudah pasti tertumpu kepada pengorbanan guru.

Sunday, April 25, 2010

HARI MINGGU...MEMANG SAH HARI CUTI


HUHUHUHU...Memang sah hari ahad tu hari cuti. Apa tidaknya sampai aku dah lupa untuk menulis pada hari ahad. Aktiviti aku semalam bermula jam 11.00 pagi. Aku memancing di tepi sungai perak. dapat ikan 3 ekor. siap bawa khemah lagi. memang panas cuaca semalam. rupa-rupanya memang nak turun hujan pada sebelah petang. Sekitar jam 3 petang hujan turun dengan lebat sekali. Berterabur ikan lari sampai tak sempat nak makan umpan aku. Sempat gak aku lari sekali. rupa-rupanya ikan pun takitkan hujan sebab takut demam katanya.
Itu cerita tepi sungai Perak. Hari minggu aku banyak menghabiskan masa dengan memancing je. tak cukup siang hari , aku sambung pula sebelah malam. Destinasi aku pada sebelah malam adalah di kawasan lombong di Tg. Tualang. Malangnya ikan lombong i tak berapa suka umpan cacing. jenis educated memang tak makan cacing. katanya kurang zat. dia suka makan dedak. ak gemuk macam ayam daging. kesudahannya tak dapat la ikan pada malam tu.
Hari ini aku tinggalkan cerita memancing dan menyambung tugasku seperti biasa iaitu sebagai guru. Setiap pagi aku akan masuk kelas dan mengajar. hari ini kelas tak banyak. semangat mengajar pun di paras yang membanggakan.
terima kasih


catatan ku hari ini.


26 april 2010

Saturday, April 24, 2010

selamat hari sabtu...waduhh pak


Salam satu Malaysia. inilah dia yang selalu kita dengar dalam TV dan radio sehinggakan ucapan assalamualaikum yang selalu kita dengar dah hampir tenggelam. Apa pun ceritanya saya tak nak komen banyak. semua sudah arif dan sudah maklum.


Hari ini adalah hari persekolahan bagi menggantikan cuti untuk hari raya. maknanya orang kita ni memang tak sah kalau tak cuti panjang pada hari raya. Yang peliknya waktu puasa ramai pulak yang tuang tapi bila beraya tak nak lepaskan peluang. itulah adatnya.

Samada hari sabtu, atau hari ahad atau hari isnin yang penting tugas sebagai guru perlu diteruskan demi masa depan anak bangsa. Pendidikan tidak mengira waktu dan tempat. Pendidikan perlu berterusan tanpa mengira hari. Tak perlu lah sesetengah orang tu merungut rungut kerana terlalu dibebani dengan tugas yang melampau lampau.

Hari ini tak banyak sangat kelas aku kerana persekolahan hari ini ikut jadual hari isnin. tak banyak kelas bukan bermaksud aku banyak rilek tapi dapat lah aku menggunakan masa yang terluang ini untuk aku siapkan beberapa perkara yang belum dibereskan lagi. \kerja ni sebenarnya tak pernah habis tapi kalau tak buat langsung lagi la tak akan habis.

sebelah petang aku banyak menghabiskan masa aku untuk menguruskan perniagaan aku. Perniagaan yang sudah pun bertapak selama 9 tahun ini sebenarnya banyak membantu aku dan tambahan pula aku dengan berani mencuba satu lagi bidang baru iaitu Pusat Gymnasium yang beroperasi di tingkat 1 bangunan koperasi kg. Gajah Perak. Alhamdulillah, semakin hari semakin maju dan pulangannya pun membanggakan.


Jumpa lagi hari esok sebab sebentar lagi nak ke Hulu Selangor untuk melihat situasi/suasana pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor.


thanks



edy


Sabtu 24 April 2010

Thursday, April 22, 2010

BACK TO SCHOOL

Hotel yang menjadi tempat penginapan aku sepanjang berada di sana. makanan kat hotel ini pun boleh tahan. kena dengan citarasa aku.

" Back To School" " Back To School" " Back To School" " Back To School"

wow..inilah ayat yang selalunya digunakan untuk mengajak orang beramai ramai mengunjungi pasaraya setiap kali ada jualan sempena buka sekolah. memang best ayat ni tapi yang lagi best nya tokey pasaraya yang mengadakan promosi. Berbaloi bila satu juta berpusu pusu ke pasaraya.

Opppp!!! lain pulak ngan aku..Aku pulak kali ini "Back to Scholl" selepas 4 hari berada di Kota Bharu Kelantan atas tugas rasmi. Boleh tahan kat sana. yang paling best makannya...waduh pak..macam macam ada. kuih muih tak payah cerita la. dari kuih tahi itik sampailah ke tahi minyak. semua ada. Makan pagi begitu berselera sekali. nasi kerabu, nasi dagang, nasi himpit. Sempat juga lah aku makan pulut ikan kering yang sudah lama aku tak merasa. Begitu menyelerakan. Memang tepat orang kata kalau nak merasa kuih muih dan makanan bertandang lah ke Kelantan dan Terengganu.



Berada di sana selama 4 hari dan sempat lah juga aku mengambil kesempatan untuk meredah bandaraya Islam ini dan melihat masyarakat Kelantan yang terkenal dengan kain batik dan semutar ini. Walaupun tak banyak tempat yang sempat untuk dilawati kerana terikat dengan jadual kerja tapi sememangnya aku merasakan cukup puas berada di sana.

Kembali semula ke sekolah dengan meneruskan tugasku sebagai guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira status dan taraf sosial. Kerinduan pada sekolah sememangnya terasa walaupun hanya 4 hari berada di sekolah. Kerja kerja di sekolah pun masih banyak yag belum di siapkan.